Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Real intai sejarah, Dortmund pula ingin buat kejutan

May 31, 2024 | 4:25 PM
Jadon Sancho dianggap antara pemain azimat bagi Borussia Dortmund di final nanti. Beliau akan bersemuka dengan Jude Bellingham.
Jadon Sancho dianggap antara pemain azimat bagi Borussia Dortmund di final nanti. Beliau akan bersemuka dengan Jude Bellingham. - Foto AFP

WEMBLY: Ternyata, Real Madrid adalah sebuah kelab yang berada di kedudukan yang tersendiri. Memenangi Liga Juara-Juara yang ke-15 di London pada 2 Jun hanya akan menambah status kekuatan mereka.

Mereka telah mendominasi dari awal pertandingan ini ditubuhkan pada pertengahan abad ke-20 hingga ke awal abad ke-21, dan ini telah membuat gergasi Sepanyol itu menjadi ukur tara bagi pasukan lain dan ukur tara ini kian meninggi saban tahun.  

Namun, kejayaan mereka sudah tentu tidak digemari ramai, membuatkan Borussia Dortmund menjadi pilihan penonton yang lebih neutral di Wembley.

Kelab Jerman itu, yang memiliki sokongan kelas pekerja di lembah Ruhr, melambangkan sesuatu yang agak berbeza dengan Real. Gergasi Sepanyol itu digambarkan sebagai simbol kebangsawanan dan aristokrasi. Sehingga kini, Real masih menjadi destinasi yang diimpikan ramai pemain muda. 

Jude Bellingham, bintang muda Real musim ini, mempamerkan kecemerlangannya di Dortmund, sebuah kelab dikenali dengan pembangunan bakat muda bola sepak Eropah dan bukan sekadar berusaha untuk merebut kejuaraan utama.

Dortmund juga adalah sebuah kelab di mana individu seperti Jurgen Klopp, Erling Haaland dan Jadon Sancho mula mendapat pengiktirafan.

Klopp telah membawa mereka ke final Liga Juara-Juara sebelum ini, yang juga diadakan di Wembley, di mana mereka tewas kepada Bayern Munich pada 2013.

Pada tahun itu, sekitar 150,000 penyokong Jerman membanjiri London dan kali ini, sudah semestinya penyokong Dortmund juga tidak mahu melepaskan peluang sedemikian.

Walaupun kelab itu hanya memiliki 25,000 tiket, mereka menerima lebih 400,000 permohonan.

Ini bermakna stadium nasional England itu dijangka bakal dipenuhi dengan warna kuning pada 1 Jun ini, mengingatkan kepada Tembok Kuning Dortmund di Westfalenstadion, salah satu stadium bola sepak yang terkenal sebagai kubu dan mempunyai sokongan yang kuat.

Walaupun ini merupakan penampilan ketiga bagi juara tahun 1997 itu dalam final Liga Juara-Juara, ia akan menjadi penampilan keenam bagi Real dalam tempoh 11 tahun.

Jurulatih Real, Carlo Ancelotti, kini berada di landasan untuk mencatatkan rekod kemenangan kelima Liga Juara-Juara sebagai jurulatih; dua bersama AC Milan dan dua bersama kelab Sepanyol itu.

Toni Kroos pemain tengah Jerman, yang bakal beraksi dalam perlawanan terakhir di saingan kelab sebelum bersara selepas Euro 2024, juga berpeluang memenangi kejuaraan kelimanya.

Luka Modric, yang bermungkinan menjadi pemain gantian untuk Kroos dan seseorang yang boleh digelar sebagai pemain tengah terbaik era ini, boleh memenangi kejuaraan keenamnya.

Dani Carvajal, pemain pertahanan yang kurang disebut tetapi tidak kurang hebatnya, juga boleh memenangi kejuaraan keenamnya. 

Dengan prestasi hebat mereka, memenangi kejuaraan Liga Eropah sudah menjadi jangkaan setiap tahun bagi Real.

Namun adakah Dortmund mempunyai peluang? Jurulatih mereka, Edin Terzic, 41 tahun, tidak mempunyai pengalaman sehebat Ancelotti. Musim lalu, pasukannya jatuh pada halangan terakhir lalu terlepas menjuarai Bundesliga kepada Bayern.

Namun, beliau telah membentuk pasukan yang dapat melebihi jangkauan mereka - daripada kecemerlangan penjaga gol Switzerland Gregor Kobel, pemain veteran seperti Mats Hummels, Emre Can dan Marcel Sabitzer, kebangkitan Sancho, dan pemain ‘wild card’ di bahagian penyerang tengah, Niclas Fullkrug.

Gabungan itu membawa mereka sehingga tahap ini tetapi perlawanan menentang Real bermakna mereka akan menentang sejarah bola sepak. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg