STUTTGART (Jerman): Impian Scotland untuk mara ke pusingan 16 pasukan terakhir Euro 2024 buat pertama kali terbantut setelah tewas 0-1 di tangan Hungary hasil jaringan Kevin Csoboth pada minit-minit akhir perlawanan di Stadium MHPArena pada 24 Jun.
Dengan kekalahan ini, kemarau piala Eropah bagi Scotland berpanjangan dan pasukan itu menamatkan kejohanan kali ini dengan satu mata dalam kumpulan A.
Scotland pertama kali layak untuk kejohanan unggul Eropah itu pada 1992 – ia mencatatkan keputusan terbaik dalam kejohanan itu setelah berjaya ke peringkat suku akhir.
Namun ia pengakhiran mengecewakan buat Scotland selepas anak didik Steve Clark terperangkap dengan serangan balas kilat oleh Hungary.
Pasukan itu juga melangkah dalam perlawanan tanpa tonggak sayap kiri, Kieran Tierney, setelah beliau mengalami kecederaan susulan keputusan 1-1 dengan Switzerland dalam perlawanan sebelum ini.
Clarke menjelaskan: “Ia biasanya adalah perlawanan (dengan) satu gol. Kami gagal mendapatkan gol, kami cuba tapi tak berjaya.”
Kemenangan Hungary mencerahkan lagi peluang untuk mara ke pusingan 16 pasukan terakhir.
Bagaimanapun, pasukan kendalian Marco Rossi itu masih perlu bergantung pada keputusan pasukan lain untuk mara sebagai pasukan dengan keputusan terbaik di tempat ketiga bagi peringkat kumpulan.
Perlawanan itu turut menyaksikan penyerang Hungary, Barnabas Varga, diusung keluar susulan pelanggaran dengan penjaga gawang Scotland, Angus Gunn, pada minit ke-68.
Kenyataan Persekutuan Bolasepak Hungary selepas itu membawa sedikit kelegaan kepada pemain dan penyokong setelah dimaklumkan bahawa Barnabas Varga berada dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan di hospital di Stuttgart.
Penyerang Hungary, Roland Sallai, berkata: “Sudah tentu kami berjuang untuknya (Barnabas Varga) pada baki 15-20 minit perlawanan. Kami ingin menang untuknya.”
Hungary menyertai Euro 2024 dengan jangkaan tinggi selepas mencatatkan 14 perlawanan tanpa kalah antara November 2022 dan Mac 2024.
Pasukan itu menewaskan England dua kali dalam Liga Negara-Negara UEFA dan Jerman di padang lawan sebelum ini.
Tetapi kekalahan berturut-turut melemahkan keyakinan anak didik Rossi dan mereka perlu menewaskan Scotland untuk mengekalkan harapan mara ke pusingan kalah mati.
Hungary disajikan beberapa peluang keemasan untuk menambah kedudukan namun gagal dimanfaatkan.
Sepakan percuma Dominik Szoboszlai dari luar kotak penalti melantun keluar setelah ia melewati palang gol.
Szoboszlai juga sempat melepaskan rembatan dari jarak jauh tetapi ia gagal menemui sasaran. Beliau sebelum ini menepis kebimbangan kecederaan selepas terlepas sesi latihan pasukan terakhir.
Scotland pula hanya dapat mencatatkan peluang pada minit ke-53 melalui rembatan penyerang Che Adams, namun tendangannya tersasar jauh.
Jerman menduduki tangga teratas Kumpulan A selepas seri 1-1 dengan Switzerland, yang mara selaku naib juara. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg