MUNICH: Bekas pemain bola sepak antarabangsa England harus “ingat bagaimana rasanya memakai jersi pasukan itu” sebelum mereka mengkritik pasukan Gareth Southgate, demikian jawapan balas penyerang mapan yang juga kapten England, Harry Kane.
Kane adalah salah seorang daripada beberapa pemain yang dikritik oleh bekas pemain negara itu berikutan prestasi hambar mereka ketika seri 1-1 dengan Denmark pada Euro 2024.
Antara yang meluahkan rasa kurang puas hati mereka adalah bekas penyerang antarabangsa England, Alan Shearer dan Gary Lineker.
Ketika ditanya mengenai kritikan tersebut di televisyen, Kane, yang bermain untuk Bayern Munich, berkata mereka harus ingat betapa “sukarnya” beraksi dalam kejohanan besar.
“Saya tidak pernah mahu bersikap tidak hormat kepada mana-mana pemain, terutama pemain yang telah memakai jersi (England) dan tahu bagaimana rasanya bermain untuk England.
“Tetapi apa yang perlu disedari oleh bekas pemain adalah ia sangat sukar untuk tidak mendengar kritikan mereka sekarang, terutama bagi sesetengah pemain yang tidak biasa dengannya atau beberapa pemain yang tidak pernah terdedah kepada persekitaran ini,” ujar Kane.
Kane percaya, bekas pemain England mempunyai “tanggungjawab” kerana kata-kata mereka boleh mempengaruhi orang lain.
“Saya tahu mereka perlu jujur dalam memberi pendapat, tetapi mereka juga punya tanggungjawab sebagai bekas pemain England. Ramai kagumi dan mendengar kata-kata mereka, dan orang ramai mengambil berat apa yang mereka katakan.
“Sebagai sebuah negara, kita tidak memenangi apa-apa piala untuk masa yang lama dan ramai pemain kami tahu betapa sukarnya (untuk menang piala)...
“Daripada mengkritik kami, adalah lebih baik untuk mereka bina keyakinan kami,” tambah Kane.
Kane hanya menjaring satu gol setakat ini dalam Euro 2024 ketika menentang Denmark yang berakhir dengan keputusan seri 1-1. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg