Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Singa sedia bertarung kekalkan harapan Piala Asia

Masih kekal di tangga kedua dengan lima mata, selepas seri dengan India pada 9 Okt
Oct 13, 2025 | 3:46 PM
bola sepak, Ryhan Stewart, kelayakan Piala Asia
Bek kanan Singa, Ryhan Stewart (kiri), tidak dapat diturunkan dalam perlawanan kelayakan Piala Asia yang penting menentang India pada 14 Oktober di Goa, selepas mengumpul dua kad kuning. Ketiadaan beliau antara kehilangan besar buat barisan pertahanan Singa dalam perjuangan mereka untuk melayakkan diri ke Piala Asia buat kali pertama. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pasukan Singa berdepan cabaran lebih sukar dalam usaha mereka mencipta sejarah iaitu layak ke Piala Asia buat kali pertama, selepas keputusan seri yang mengecewakan apabila menentang India pada 9 Oktober.

Walaupun keputusan tersebut mengecewakan, mereka kekal di tangga kedua kumpulan dengan lima mata, dan harapan masih belum pudar.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Jurulatih Sementara, Gavin Lee, selepas perlawanan itu.

Menurutnya, masih ada sembilan mata penting yang boleh diperoleh, dan Singapura masih dalam persaingan.

“Masih ada tiga lagi mata penting untuk diperoleh, dan ini peluang terbaik kami untuk menguji perwatakan dan kehebatan pasukan kami,” kata Lee di Stadium Negara selepas perlawanan menentang India itu.

Namun, perlawanan timbal balik menentang India yang akan berlangsung di stadium lawan, Stadium Pandit Jawaharlal Nehru di Goa, bakal menjadi ujian getir.

Pasukan kendalian Lee pula akan beraksi tanpa dua pemain utama – pemain tengah, Shah Shahiran, dan pertahanan, Ryhan Stewart, yang digantung selepas mengumpul dua kad kuning.

Lebih membimbangkan, tonggak barisan pertahanan Singa, Safuwan Baharudin, juga mungkin tidak dapat diturunkan akibat kecederaan, sekali gus meninggalkan jurang besar di barisan pertahanan Singapura.

Tanpa mereka, pemain pertahanan seperti Irfan Najeeb, Amirul Adli serta pemain tengah, Jared Gallagher, mungkin diturunkan bagi mengisi jurang.

Selain itu, peluang juga mungkin diberikan kepada pemain muda seperti Jonan Tan, Ong Yu En dan Raoul Suhaimi untuk membuat penampilan pertama mereka.

Namun, difahamkan India juga tidak dapat menurunkan kesebelasan terbaik mereka apabila menentang Singapura.

Mereka perlu beraksi tanpa tonggak pertahanan, Sandesh Jhingan, yang disifatkan “pemain paling penting” oleh jurulatih pasukan itu, Khalid Jamil, setelah Jhingan dilayangkan kad kuning kedua selepas mengasari penyerang Singapura, Ikhsan Fandi.

“Sudah tentu, saya amat kecewa dan rasa bersalah kerana menerima kad merah pertama saya dalam pasukan kebangsaan,” kata pemain pertahanan berusia 32 tahun itu.

Namun, beliau tetap bersemangat dan akan mendorong pasukannya dalam perlawanan timbal balik menentang Singapura.

Jamil turut menjangkakan satu perlawanan mencabar.

“Singapura sebuah pasukan yang bertenaga, mereka pasukan yang bagus dan mereka tahu mereka telah kehilangan dua mata di sini, jadi mereka pasti akan turun dengan persiapan lebih rapi untuk perlawanan seterusnya.

“Kami akan bermain di tempat sendiri tetapi kami juga mesti bersedia dengan baik,” ujar Jamil.

Semangat dan tenaga inilah yang patut menjadikan Singa berwaspada.

Dalam perlawanan mereka di Stadium Negara, India mempamerkan tenaga dan ketekunan untuk mendapatkan kawalan bola.

Pemain mereka pantas menyekat laluan hantaran Singa, memaksa anak didik Lee membuat keputusan dengan lebih pantas.

Kesungguhan inilah yang membuka peluang bagi India memperoleh gol penyamaan mereka.

Tekanan India menyebabkan satu hantaran lemah oleh penyerang Singa, Jordan Emawive, kepada penjaga gawang Izwan Mahbud disambar oleh Rahim Ali, yang berjaya memperdayakan Izwan untuk mendapatkan mata berharga.

Kesilapan tersebut telah menyebabkan Jordan menerima kritikan yang kuat daripada para penyokong Singa.

Namun, beliau menerima sokongan daripada rakan sepasukannya, yang memikul tanggungjawab keputusan seri itu bersama.

“Semua orang bertanggungjawab, dan saya akan memikul tanggungjawab kerana gagal menjaringkan gol. Saya sangat kecewa, tetapi saya perlu terus bekerja keras, dan ya, saya akan menjaringkan gol pada perlawanan seterusnya,” kata penyerang Singa, Ilhan Fandi.

Mengulas perlawanan timbal balik menentang India, kapten pasukan, Hariss Harun, berkata:

“Untuk perlawanan akan datang, memang jelas apa yang perlu kami perbaiki – menjadikan penguasaan dan peluang kami kepada jaringan, mengurangkan kesilapan, dan mengawal permainan hingga wisel penamat kerana pada tahap ini, setiap kesilapan pasti akan diambil kesempatan.”

Dengan baki hanya tiga perlawanan dalam kempen kelayakan ini, setiap mata amat bernilai.

Lee dijangka membuat beberapa perubahan taktikal untuk menyesuaikan diri dengan kehilangan pemain utama dan untuk mengejutkan pihak lawan.

Jelas bahawa kedua-dua pasukan sedar betapa pentingnya tiga mata dalam perlawanan ini, dan kekuatan mental serta taktikal akan menjadi faktor penentu.

Walaupun India kini bermain di laman sendiri, tekanan tetap tinggi, memandangkan pasukan Singa pastinya mahu menebus keputusan lalu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg