Perancangan untuk menganjurkan Piala Dunia yang melibatkan sehingga 64 pasukan bakal dinilai selepas kejohanan 2026, dengan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Gianni Infantino, menyatakan bahawa kejohanan tersebut perlu menjadi acara “untuk seluruh dunia”.

Cadangan untuk memperluaskan saiz kejohanan itu telah dikemukakan pada 2025, dengan Infantino menyifatkan kejayaan kejohanan dengan format 48 pasukan yang diperluaskan sebelum ini sebagai pencetus untuk Fifa sewajarnya meneliti bagaimana Piala Dunia dengan 64 pasukan boleh dilaksanakan.

“Ini semua adalah isu yang akan kami nilai selepas Piala Dunia ini,” kata Infantino kepada penyiar Switzerland, Blue Sport, ketika ditanya sama ada kejohanan itu boleh berkembang kepada 64 pasukan.

“Apabila menganjurkan Piala Dunia, adalah penting untuk menganjurkannya bagi seluruh dunia, bukan sahaja untuk Eropah dan Amerika Selatan... setiap negara sepatutnya diberi peluang untuk memasang impian dapat bertanding di Piala Dunia.

“Anda boleh lihat sendiri bahawa mutu pasukan amat tinggi, dan ia semakin meningkat di seluruh dunia. Jika anda tidak memberi peluang kepada negara kecil untuk menyertai Piala Dunia, dorongan mereka untuk terus meningkatkan prestasi akan merosot.”

Menurut BBC, Infantino menambah bahawa Piala Dunia 2026 ini – yang pertama menampilkan 48 pasukan – telah melakar “kejayaan yang amat besar”, sambil menyebut kejayaan sembilan daripada 10 pasukan benua Afrika yang berjaya melangkah ke peringkat kalah mati.

“Pada Piala Dunia sebelum ini, hanya ada lima pasukan dari benua Afrika,” katanya.

“Perkara ini jelas menunjukkan betapa pentingnya untuk menyertakan semua pasukan, dengan memberikan mereka peluang untuk bertanding.”

Pada 2017, majlis Fifa mengesahkan langkah untuk memperluaskan format Piala Dunia daripada 32 kepada 48 pasukan.

Cadangan rasmi untuk meningkatkan jumlah penyertaan Piala Dunia 2030 kepada 64 pasukan pada awalnya dikemukakan oleh badan pentadbir bola sepak Amerika Selatan, Gabungan Bola Sepak Amerika Selatan (Conmebol), pada April 2025.

Namun, tiada sebarang keputusan muktamad yang telah dicapai setakat ini.

Edisi 2030 bakal dianjurkan secara bersama oleh Sepanyol, Portugal dan Maghribi.

Namun tiga perlawanan pembukaan akan berlangsung di Argentina, Uruguay, dan Paraguay bagi meraikan ulang tahun ke-100 kejohanan tersebut. Uruguay merupakan tuan rumah bagi Piala Dunia yang pertama kali dianjurkan pada 1930.

Namun, beberapa kesatuan bola sepak menyatakan keraguan mereka terhadap cadangan untuk menambah lagi jumlah pasukan bagi Piala Dunia.

Presiden Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa), Aleksander Ceferin, adalah antara pihak yang menolak cadangan itu.

Ketua bola sepak Eropah asal Slovenia itu menyifatkan cadangan tersebut sebagai “idea yang buruk” untuk kejohanan itu sendiri mahupun bagi proses kelayakan.

Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Sheikh Salman Ibrahim Al Khalifa, berkongsi sentimen itu dan menyatakan bahawa saiz kejohanan yang lebih besar hanya akan membawa “huru-hara”.

Sementara itu, Presiden Gabungan Bola Sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (Concacaf), Victor Montagliani, berkata cadangan tersebut “dirasakan janggal” dan beliau percaya peluasan itu akan merosakkan “ekosistem bola sepak yang lebih luas”. – Agensi berita.