Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ingin imbangi keperluan sukan atlet, awam: CEO baru SportSG Alan Goh

Jun 30, 2023 | 5:30 AM
100 HARI BERKHIDMAT: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Majlis Sukan Singapura (SportSG), Alan Goh dilantik pada 1 April.
100 HARI BERKHIDMAT: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Majlis Sukan Singapura (SportSG), Alan Goh dilantik pada 1 April. - Foto ST

Sangat bermakna dan memperkaya, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Majlis Sukan Singapura (SportSG), Alan Goh, ketika menggambarkan 100 hari pertamanya menggalas jawatan barunya itu.

Goh, 46 tahun, yang dilantik pada 1 April, menambah isu paling mendesak yang perlu dihadapinya sepanjang lebih dua bulan ini adalah memenuhi keperluan pelbagai pihak berkepentingan seperti para atlet dan masyarakat umum dalam ekosistem sukan Singapura.

Berkongsi pengalamannya sejauh ini semasa satu sesi bersama media di OCBC Lounge, Stadium Negara pada Selasa, Goh berkata:

“Saya boleh mengatakan ia sangat bermakna dan memperkaya… Banyak lagi yang masih perlu saya pelajari dalam 100 hari pertama. 

“Tetapi, perkara paling penting sedang saya cuba fikirkan adalah kita mesti terus menyampaikan sistem prestasi tinggi yang dapat meraikan semua juara, atau sekurang-kurangnya atlet yang telah beraksi cemerlang untuk mengharumkan nama negara, dan juga berkhidmat kepada masyarakat kita supaya warga biasa mendapat akses kepada kemudahan sukan dan mempunyai komuniti untuk bersukan.”

Sejak mengambil alih “kerusi panas” daripada ketua sebelumnya, Lim Teck Yin, yang telah berkhidmat bersama SportSG selama 12 tahun, Goh telah mengawasi beberapa acara besar sukan seperti Sukan SEA 2023 di Kemboja pada Mei dan terkini, Minggu E-Sukan Olimpik di Singapura pada Jun.

Goh sebelum itu telah bertugas di Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) sejak September 2019. Beliau juga merupakan salah seorang naib presiden Persekutuan Kapal Layar Singapura pada 2018 hingga 2019.

Goh menambah bahawa cabarannya adalah memenuhi keperluan awam, atlet dan persatuan sukan dengan sumber terhad yang ada.

“Seperti kebanyakan bidang lain, kita tidak mempunyai sumber yang tidak terbatas, kita tidak mempunyai bilangan orang yang ramai untuk menangani setiap keperluan,” jelas Goh.

“Jadi, ia tentang cuba memikirkan bagaimana kami dapat terus membentuk generasi seterusnya atlet Team Singapore yang dapat beraksi cemerlang.

“Dan secara umumnya pula, bagaimana kami dapat terus menyegarkan pusat sukan kami, merekanya semula, supaya sekurang-kurangnya dalam setiap estet kejiranan, setiap warga dapat mengambil bahagian dan mempunyai akses kepada kemudahan yang baik,” tambah beliau.

Pada 11 Jun, ActiveSG Sport Village @ Jurong Town yang merangkumi kemudahan seperti padang hoki, padang bola sepak dan gelanggang berbumbung untuk pelbagai kegunaan telah dibuka secara rasmi.

Ia bertujuan mendekatkan lagi penduduk kawasan itu kepada kemudahan sukan.

Pusat Sukan Delta di Tiong Bahru juga telah dibuka semula pada Mei.

Kemudahannya termasuk sebuah gimnasium seluas 1,000 meter persegi yang tiga kali lebih besar daripada sebelum ini, empat gelanggang futsal baru, dan lebih banyak ruang untuk tenis meja.

Pada Februari, SportSG mengumumkan rancangan Pembangunan Bersepadu Toa Payoh, yang dijadual siap menjelang 2030.

Tapak seluas 12 hektar itu akan merangkumi pusat sukan serantau, poliklinik, perpustakaan awam dan kawasan taman bandar.

Projek Toa Payoh, antara lain, adalah sebahagian daripada Pelan Induk Kemudahan Sukan, satu daya usaha utama pelan tindakan sukan negara Wawasan 2030. 

Menurut dapatan terkini Tinjauan Penyertaan Sukan Negara (NSPS), yang dikeluarkan SportSG pada Selasa, sekitar 74 peratus warga Singapura didapati bersenam atau menyertai kegiatan sukan sekurang-kurangnya seminggu sekali pada 2022.

Angka itu meningkat berbanding semasa pandemik Covid-19 iaitu 69 peratus pada 2020; dan 72 peratus pada 2021.

Sebelum pandemik pada 2019, penyertaan itu adalah 66 peratus.

Goh berkata walaupun pandemik telah menyaksikan “tingkah laku yang terpesong”, beliau berharap bilangan itu akan terus meningkat.

Ini meskipun beliau akur lebih ramai orang kini sudah kembali bekerja di pejabat, ketika Singapura kini berada dalam fasa endemik.

Beliau menambah:

“Memandangkan kami telah membuka semula (kemudahan), orang ramai cepat lupa bagaimana keadaannya (semasa Covid-19). Orang ramai kini lebih kerap kembali ke pejabat walaupun kami cuba mengekalkan faedah kerja hibrid.

“Jadi, pasukan saya akan berusaha gigih untuk melihat bagaimana kami boleh mengekalkan atau meningkatkan penyertaan ini.

“Mengikut perbandingan, kami bukanlah yang terbaik di dunia. Terdapat beberapa negara lain di mana terdapat budaya bermain sukan serta berada di luar rumah dan kami hanya ingin cuba mencapai tahap itu sebagai langkah seterusnya.”

Tinjauan itu disertai lebih 4,500 warga Singapura berusia 13 tahun ke atas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg