Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Insiden berbaur perkauman tidak dilapor: Real bidas pengadil

Mar 19, 2024 | 1:34 PM
Real Madrid mengemukakan aduan kepada Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) terhadap pengadil dalam perlawanan menentang Osasuna pada 16 Mac susulan serangan penghinaan berbaur perkauman terhadap penyerang, Vinicius Jr.
Real Madrid mengemukakan aduan kepada Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) terhadap pengadil dalam perlawanan menentang Osasuna pada 16 Mac susulan serangan penghinaan berbaur perkauman terhadap penyerang, Vinicius Jr. - Foto REUTERS

MADRID: Satu aduan telah dikemukakan terhadap pengadil yang mengendalikan perlawanan antara Real Madrid dan Osasuna pada 16 Mac.

Dalam satu kenyataan Real Madrid pada 18 Mac, ia menyatakan pengadil tidak menyertakan dakwaan penghinaan berbaur perkauman yang ditujukan kepada penyerangnya, Vinicius Jr, dalam laporan perlawanan.

Vinicius menjaringkan dua gol dalam perlawanan yang menyaksikan Real Madrid menang 4-2 di Stadium El Sadar.

Pemain antarabangsa Brazil berusia 23 tahun itu menjadi mangsa penghinaan berbaur perkauman dalam beberapa perlawanan.

Kenyataan itu menjelaskan: “Kelab kami telah memfailkan aduan kepada Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) terhadap pengadil perlawanan, Juan Martinez Munuera.

“Pengadil secara sukarela dan sengaja mengenepikan penghinaan dan herdikan yang berulang terhadap pemain kami, Vinicius Jr, walaupun ia... telah dimaklumkan oleh pemain kami semasa kejadian sedemikian berlaku.”

Real juga telah mengemukakan aduan tersebut kepada pejabat pendakwa raya negeri pada 15 Mac berhubung kesalahan kebencian dan diskriminasi selepas dakwaan laungan berbaur perkauman oleh peminat Atletico Madrid dan Barcelona ditujukan kepada penyerang itu.

“Real Madrid sekali lagi mengecam serangan berbaur perkauman, diskriminasi dan kebencian ini, dan menuntut agar langkah diambil untuk menghapuskan keganasan yang dialami pemain kami Vinicius Jr,” tambah kenyataan itu.

Pada Mei 2023, Vinicius menjadi mangsa insiden berbaur perkauman semasa Real Madrid menentang Valencia di padang lawan, Stadium Mestalla. Dalam perlawanan itu, Real tewas 0-1.

Perlawanan itu ditangguhkan selama beberapa minit pada separuh masa kedua setelah pemain Real Madrid itu  dilontarkan kata-kata berbaur perkauman.

Menyusuli itu, Vinicius bertindak berdiri di belakang gol berhadapan dengan penyokong dan menunjuk ke arah pelaku yang mengejeknya.

Pengadil perlawanan, Ricardo de Burgos Bengoetxea, memohon pegawai stadium untuk membuat pengumuman dan menggesa penghinaan perkauman dihentikan sebelum perlawanan disambung kira-kira 10 minit kemudian.

Selepas perlawanan itu, pengadil menulis laporan bahawa seorang peminat menjerit ‘monyet, monyet’ terhadap pemain Real Madrid itu.

Selepas perlawanan, Vinicius membuat catatan di Twitter bagi mengetengahkan apa yang dialaminya.

Beliau menyatakan La Liga “tergolong daripada orang yang bersifat perkauman” dan “di Brazil, Sepanyol diketahui sebagai negara bersifat perkauman”.

Menyusuli perlawanan itu, Real Madrid membuat laporan kepada pejabat pendakwa raya Sepanyol dan menyifatkan insiden itu sebagai jenayah kebencian. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg