LONDON: Mungkin tidak ramai yang menyedari malah menyangkal hakikat ini, namun statistik menunjukkan bahawa keputusan Video Pembantu Pengadil (VAR) dalam saingan Liga Perdana setakat musim ini sebenarnya cukup baik.

Panel Insiden Utama Perlawanan (KMI) – yang meneliti setiap keputusan dipertikaikan dan mengundi sama ada ia tepat atau salah – hanya melaporkan dua kesilapan VAR selepas lapan pusingan perlawanan.

Pada peringkat sama musim lalu, sebanyak enam kesilapan telah direkodkan.

Namun segalanya berubah pada perlawanan hujung minggu ini, apabila hampir setiap perlawanan divisyen utama melibatkan keputusan yang dipertikaikan.

Berikut antara insiden yang mengundang keputusan kontroversi dan penilaian terhadap kemungkinan Panel KMI akan menambah senarai kesilapan berkenaan. 

ARSENAL 1-0 HULL

Timbul kontroversi dalam aksi berkenaan apabila penyerang Arsenal, Kai Havertz, dijatuhkan oleh Nobel Mendy di dalam kotak penalti. 

Pegawai VAR, Michael Oliver, mengarahkan pengadil perlawanan, Farai Hallam, ke skrin tepi padang bagi menilai kemungkinan pemberian penalti, namun ia akhirnya tidak diberikan disebabkan kesalahan ofsaid oleh pemain antarabangsa Jerman berkenaan.

Hakikatnya, insiden kekasaran itu berlaku sebelum kesalahan ofsaid, sekali gus sepakan penalti wajar diberikan kepada Arsenal. 

Meskipun menghadiahkan penalti kepada pemain yang berada dalam kedudukan ofsaid mungkin kelihatan janggal, undang-undang permainan jelas menetapkan sebaliknya dan panel KMI berkemungkinan besar akan menganggap keputusan berkenaan sebagai satu kesilapan.

LEEDS 1-0 TOTTENHAM

Dalam aksi di Elland Road, pemain pertahanan tuan rumah, Jayden Bogle, mengasari Mathys Tel sehingga pengadil John Brooks memberikan sepakan percuma kepada Spurs. Dalam masa sama tiada sebarang kad dilayangkan terhadap pemain Leeds berkenaan. 

Pegawai VAR, Tony Harrington, memilih untuk tidak mengarahkan Brooks merujuk skrin tepi padang bagi kemungkinan kad merah.

Insiden ini disifatkan sebagai satu situasi sukar buat VAR memandangkan kekasaran itu tidak berpunca daripada kaki yang digunakan Bogle untuk merebut bola. 

Meskipun terjahan tersebut kelihatan amat berbahaya sehingga ada pihak berpandangan bahawa kad merah sepatutnya dilayangkan, punca insiden itu kekal dipertikaikan.

Panel KMI dijangka berbelah bahagi sama ada insiden berkenaan merupakan sekadar pelanggaran tidak disengajakan atau terjahan yang membahayakan keselamatan lawan. 

Keputusan akhir panel berkenan berkemungkinan besar bergantung kepada pandangan barisan bekas pemain yang menganggotai panel bagi minggu ini, susulan kewujudan perbezaan pendapat yang ketara dalam kalangan mereka.

EVERTON 3-1 COVENTRY

Perlawanan di Stadium Hill Dickinson, Liverpool, turut tidak terlepas daripada beberapa detik panas yang mencetuskan kontroversi.

Insiden pertama membabitkan pemain Coventry, Caleb Yirenkyi, yang rambutnya kelihatan ditarik oleh pertahanan Everton, James Tarkowski, di dalam kotak penalti, namun tiada sepakan penalti diberikan. 

Meskipun garis panduan berkaitan insiden menarik rambut dilonggarkan bagi musim ini, dengan kesalahan tersebut tidak membawa kepada layangan kad merah, Tarkowski jelas dilihat menyentap rambut lawannya itu. 

Justeru, Panel KMI dijangka menilai keputusan berkenaan sebagai satu kesilapan dan penalti sepatutnya dihadiahkan.

Coventry sekali lagi menuntut sepakan penalti susulan kekasaran pemain pertahanan Everton, Vitalii Mykolenko, yang menjatuhkan Taiwo Awoniyi di garisan kotak penalti.

Namun, rakaman ulangan membuktikan sentuhan ke atas Awoniyi berlaku betul-betul di luar garisan, sekali gus keputusan pengadil untuk tidak memberikan penalti disifatkan tepat dan dijangka disokong panel.

Kontroversi seterusnya tercetus apabila Thierno Barry meletakkan Everton di depan pada minit ke-61, sebelum VAR melakukan semakan terhadap kemungkinan berlakunya bola terkena tangan (handball). 

Pegawai VAR memutuskan tiada bukti kukuh mengenai kesalahan berkenaan, meskipun arah bola kelihatan sedikit terbias dan jaringan itu sepatutnya dibatalkan. 

Namun, memandangkan teknologi super-zoom memerlukan masa untuk diselaraskan dan tidak tersedia secara serta-merta, ketiadaan campur tangan VAR kemungkinan besar akan disokong.

Justeru, undian KMI diramal berbelah bahagi.

ADAKAH INI MINGGU BURUK BUAT VAR?

Panel KMI dijangka merekodkan sekurang-kurangnya dua keputusan sebagai kesilapan VAR – termasuk insiden kegagalan menghadiahkan sepakan penalti kepada Arsenal dan Coventry.

Dua lagi insiden – jaringan Barry serta kemungkinan layangan kad merah terhadap Bogle – mungkin dianggap sebagai kesilapan, namun ia bergantung kepada barisan panel bertugas dan pendapat subjektif masing-masing.

Sementara itu, baki keputusan melibatkan perlawanan hujung minggu lain dilihat tepat dan dijangka disokong panel.

Secara keseluruhan, saingan minggu ini berdepan kemungkinan dua hingga empat kesilapan VAR, sekali gus menjadikannya hujung minggu yang kurang baik buat pengadilan video. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti