Pasukan Liga Perdana Singapura (SPL), Balestier Khalsa telah mengirimkan surat permohonan maaf daripada ibu bapa pemain pasukan bawah 15 tahun kelab itu kepada Akademi Bola Sepak ActiveSG, menyusuli insiden perkauman yang didakwa berlaku semasa perlawanan Liga Belia Singapura (SYL) pada 2 November.
Menurut laporan The Straits Times, ibu bapa pemain tersebut didakwa melontarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pemain ActiveSG semasa perlawanan di Hab Bola Sepak Kallang yang dimenangi Balestier 4-1.
Dalam satu kenyataan di media sosial Balestier pada 3 November, naib pengerusi Balestier, Darwin Jalil berkata pihak pengurusan kelab tersebut telah “berhubung dengan pihak berkaitan dan telah berkomunikasi dengan wakil dari pihak lawan untuk menguruskan perkara ini”.
“Kelab kami juga mengirimkan permohonan maaf bertulis kepada Akademi Bola Sepak ActiveSG daripada ibu bapa yang telah mengakui kesilapan mereka,” tambah beliau.
Apabila dihubungi, pengetua Akademi Bola Sepak ActiveSG, Aleksandar Duric menjawab:
“Saya rasa ini bukan kali terakhir perkara sebegini akan berlaku. Ini kerana jika kami tidak menghentikannya, tidak lama kemudian, lebih banyak kes-kes (perkauman) akan berlaku.”
“Saya faham bahawa ada ibu bapa yang mempunyai banyak perasaan cemburu dan marah, dan tidak lama kemudian perkara ini tidak boleh dikawal.
“Kami harus tangani perkara ini sekarang, kerana sesiapa sahaja boleh meminta maaf selepas melakukan perkara ini.”
Bekas pemain nasional Singapura itu juga percaya bahawa kelab-kelab berperanan mendidik semua tentang tingkah laku mereka semasa perlawanan.
Beliau tambah: “Kami benar-benar perlu sediakan beberapa panduan jelas untuk pemain, ibu bapa dan pengadil untuk wujudkan persekitaran yang selamat untuk atlet muda kami, untuk mendidik mereka, kerana saya percaya tanpanya, kami akan hadapi lebih banyak masalah pada masa hadapan.
“Jika kami tidak melindungi anak-anak, saya rasa kesannya mungkin amat besar.”
Darwin juga berkata di sosial media Balestier:
“Memandangkan ini merupakan insiden SYL, bidang kuasa bagi perkara itu bukan dalam kawalan kami, tetapi kami mengambil inisiatif untuk membantu selesaikan perkara ini demi semangat keadilan sukan.
“Ibu bapa yang terlibat tidak mewakili kelab dalam situasi ini. Namun, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan serius terhadap pemain, jurulatih dan kakitangan kami sekiranya perkara ini berlaku di kalangan kami. Tiada ruang untuk perkauman dalam bola sepak.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg