MILAN: Untuk kali kedua dalam masa enam hari, Inter Milan dan Barcelona menghasilkan satu lagi perlawanan klasik di pentas Eropah.
Inter berjaya peroleh kemenangan 4-3 pada 6 Mei (7 Mei masa Singapura) – 7-6 secara agregat – untuk melangkah ke peringkat akhir Liga Juara-Juara.
Dalam perlawanan yang akan dikenang untuk bertahun-tahun, Barelona ketinggalan 0-2 dan 2-3 pada perlawanan pertama di Catalonia, Sepanyol sebelum berjaya menyamakan kedudukan 3-3.
Di Milan pula, mereka ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama – 3-5 secara agregat – sebelum menjaringkan tiga gol untuk mendahului perlawanan.
Jaringan Raphinha pada minit ke-87 adalah kali pertama Barcelona mendahului agregat, namun gol Eropah pertama Francesco Acerbi pada usia 37 tahun membawa perlawanan yang mendebarkan itu ke masa tambahan.
Kemudian, pemain gantian Inter, Davide Frattesi menjaringkan gol kemenangan untuk membuatkan lebih 70,000 penyokong Inter di San Siro sorak bergembira.
Ini adalah separuh akhir Liga Juara-Juara di mana jaringan terbanyak dihasilkan, dengan 13 gol, sama seperti separuh akhir 2018 apabila Liverpool juga menewaskan Roma 7-6 secara agregat.
“Kami tidak menjangkakan perlawanan seperti ini,” kata bekas kapten England, Alan Shearer.
“Terima kasih kepada Inter Milan, terima kasih Barcelona kerana memberi kami hiburan yang luar biasa dan dua perlawanan bola sepak yang hebat.”
Inter akan bertemu dengan Paris St-Germain (PSG) atau Arsenal – yang akan bertemu dalam separuh akhir di Perancis pada 7 Mei (8 Mei waktu Singapura).
PSG mendahului 1-0 dari perlawanan pertama.
Tiada siapa yang mahu perlawanan antara Barca dan Inter yang mendebarkan itu untuk berakhir, namun apabila pengadil Poland, Szymon Marciniak, meniup wisel penamat, pemain-pemain Inter jatuh melutut akibat keletihan tetapi dalam keadaan kegembiraan.
Mereka kekal di padang selama kira-kira 15 hingga 20 minit selepas tamat masa untuk menunjukkan penghargaan kepada penyokong mereka, yang kini boleh mula menempah tiket penerbangan dan hotel untuk peringkat akhir di Munich pada 31 Mei.
Kejayaan Inter dalam pertandingan musim ini dibina atas pertahanan yang kukuh dan rekod gawang mereka yang sukar untuk dibolosi.
Namun, pertahanan mereka didedahkan oleh Barcelona.
Mereka telah melepaskan lebih banyak gol menentang pendahulu La Liga itu dalam 210 minit berbanding jumlah gol yang mereka lepaskan dalam 12 perlawanan pertama mereka dalam Liga Juara-Juara musim ini.
Inter mencatatkan rekod lapan perlawanan tanpa dibolosi, dengan penjaga gol Switzerland, Yann Sommer, bermain dalam tujuh perlawanan itu.
Namun, Inter berjaya berjuang untuk layak ke final dengan pemain gantian Davide Frattesi menjaringkan gol kemenangan dalam masa tambahan.
Sudah 15 tahun sejak Inter – yang ketika itu dikendalikan oleh Jose Mourinho – dinobatkan sebagai juara Eropah.
Tiada pasukan Italy yang menjuarai Liga Juara-Juara sejak kemenangan mereka ke atas Bayern Munich pada 2010.
Mereka bukan pilihan utama untuk memenangi pertandingan pada 2025, dengan syarikat data, Opta menilai mereka sebagai pilihan ketiga untuk mara ke peringkat akhir, selepas Real Madrid dan Manchester City.
Dengan kededua pasukan tersebut sudah tersingkir, Inter kini berada dalam kedudukan terbaik.
Dan mereka kembali ke peringkat akhir kedua mereka dalam tiga musim.
“Ia adalah malam yang menakjubkan,” kata pengurus Inter, Simone Inzaghi.
“Satu malam yang perlu dikongsi dengan penyokong kami, kelab kami dan keluarga kami. Pemain-pemain telah melakukan sesuatu yang luar biasa.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg