Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PSG punyai kelebihan selepas tewaskan Arsenal

Pasukan Paris St Germain kini lebih dekat ke peringkat akhir Liga Juara-Juara
Apr 30, 2025 | 3:36 PM
Pemain sayap Paris St Germain (PSG), Ousmane Dembele, meraikan gol beliau dalam kemenangan 1-0 ke atas Arsenal dalam perlawanan pertama peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara pada 29 April.
Pemain sayap Paris St Germain (PSG), Ousmane Dembele, meraikan gol beliau dalam kemenangan 1-0 ke atas Arsenal dalam perlawanan pertama peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara pada 29 April. - Foto REUTERS

LONDON: Pasukan Paris St Germain (PSG) melangkah setapak lebih dekat ke peringkat akhir Liga Juara-Juara hasil jaringan awal Ousmane Dembele untuk mendapatkan kemenangan 1-0 ke atas Arsenal dalam perlawanan pertama peringkat separuh akhir pada 29 April.

PSG menguasai permulaan perlawanan dan ia membuahkan hasil pada minit keempat apabila Dembele merembat bola melepasi penjaga gawang Arsenal, David Raya.

Pasukan Perancis itu berjaya bertahan untuk mendapatkan kemenangan pertama mereka ke atas Arsenal dalam enam pertemuan untuk membawa pulang kelebihan bermakna menjelang perlawanan kedua mereka di Paris pada 8 Mei.

Arsenal yang juga bermain di peringkat separuh akhir buat kali pertama sejak 2009, dapat mengatasi penguasaan PSG dan mencipta beberapa peluang sendiri.

Namun, jaringan Mikel Merino dibatalkan pada separuh masa kedua dan penjaga gawang PSG, Gianluigi Donnarumma, berjaya menghalang beberapa percubaan Arsenal.

PSG berjaya bertahan dan sepatutnya menggandakan kelebihan mereka untuk perlawanan kedua menentang Arsenal, tetapi Bradley Barcola dan Goncalo Ramos tidak dapat memanfaatkan peluang yang tersaji.

Jika PSG berjaya mempertahankan kelebihan mereka pada 7 Mei bermain di stadium sendiri, mereka akan berdepan sama ada Inter Milan atau Barcelona dalam peringkat akhir di Munich, Jerman, pada 31 Mei (1 Jun waktu Singapura).

Ia bakal menjadi peluang terbaik PSG menjulang piala Liga Juara-Juara pertama mereka setelah sekian lama menunggu.

“Kami perlu menyesuaikan diri mengikut keadaan di padang dan kami berjaya melakukannya, bertahan dan menyerang dengan baik,” kata pemain tengah PSG, Vitinha.

Menurut Raya, walau keputusan itu mengecewakan untuk Arsenal, mereka masih mempunyai harapan mengatasinya.

“Kami buktikan sejak minit ke-25 bahawa kami boleh menang ke atas mana-mana pasukan. Kami telah buktikan musim ini bahawa kami boleh menang di padang lawan, jadi kami akan ke Paris untuk menang perlawanan tersebut,” kata beliau.

PSG bagai bencana untuk pasukan Liga Perdana England (EPL) selepas menewaskan Manchester City, menyingkirkan juara EPL, Liverpool di peringkat 16 terakhir, dan mengalahkan Aston Villa di peringkat suku akhir.

Didorong sorakan penyokong, PSG berjaya mengawal permainan dalam 25 minit pertama perlawanan, menerusi gerakan dan kepantasan mereka yang kelihatan tidak dapat disaingi pasukan kendalian Mikel Arteta.

Khvicha Kvaratskhelia menerima bola di bahagian kiri dan memecut masuk ke kotak penalti sebelum mengumpan bola kepada Dembele untuk menjaringkan golnya.

Arsenal kelihatan tertekan selepas jaringan itu dan keadaan hampir menjadi lebih buruk bagi mereka.

Pemain sayap Arsenal, Leandro Trossard, dilayangkan kad kuning kerana mengasari Achraf Hakimi. Tidak lama kemudian, Hakimi sekali lagi mengancam dan menghantar bola hebat ke arah Marquinhos. Mujur bagi Arsenal, tandukan Marquinhos langsung ke dakapan Raya.

Kvaratskhelia merupakan duri bagi Arsenal sepanjang separuh masa pertama dan beliau hampir mendapatkan penalti untuk PSG selepas dikasari Jurrien Timber, namun ia tidak diberikan.

Raya terpaksa menghalang percubaan dari Kvaratskhelia dan Desire Doue sebelum Arsenal akhirnya bangkit dan mula membalas serangan PSG.

Gabriel Martinelli terlepas memanfaatkan hantaran hebat Bukayo Saka dan kemudian percubaan beliau pada separuh masa pertama dihalang Donnarumma.

Arsenal merasakan mereka telah menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua apabila Merino menanduk masuk bola hasil hantaran Declan Rice, tetapi semakan VAR mendapati beliau ofsaid dan jaringan tersebut dibatalkan. – Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg