BARCELONA: Barcelona berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan daripada ketinggalan dua kali ketika menentang Inter Milan dalam perlawanan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah yang berkesudahan seri 3-3, menjadikan aksi timbal balik di San Siro pada 6 Mei sangat terbuka.
Inter mengejutkan tuan rumah seawal 30 saat apabila Marcus Thuram menjaringkan gol hebat hasil hantaran Denzel Dumfries – mencatat rekod sebagai gol terpantas dalam sejarah separuh akhir kejohanan itu.
Dumfries sekali lagi mencuri tumpuan 20 minit kemudian apabila beliau menggandakan kelebihan Inter dengan satu rembatan akrobatik yang mengagumkan.
Pada ketika itu, Barcelona kelihatan seperti berdepan tugas yang mustahil apabila bertandang ke padang Inter di San Siro bagi pertemuan kedua nanti.
Namun, segalanya berubah dengan sentuhan hebat Lamine Yamal.
Pemain muda itu mempamerkan kehebatan luar biasa, menggelecek pemain Inter untuk menyusup ke petak penalti lawan sebelum melepaskan percubaan sensasi bagi gol pertama Barca pada minit ke-24.
Yamal terus menjadi nadi serangan Barca, malah dua percubaannya menggegar palang gol.
Dalam penampilan ke-100 bersama Barca, pemain yang masih berusia 17 tahun itu menjaringkan gol ke-22 dan merintis 33 gol untuk kelab itu sejauh ini.
Ferran Torres memastikan Barca kembali pada kedudukan seimbang sebelum wisel rehat dengan satu menjaringkan gol jarak dekat hasil tandukan Raphinha ke dalam kawasan bahaya pada minit ke-38.
Namun, Dumfries kembali meletakkan Inter di depan pada minit ke-63 dengan satu tandukan kencang hasil sepakan sudut hantaran Hakan Calhanoglu.
Barcelona sekali lagi memberikan respons segera, hanya dua minit kemudian, apabila rembatan jarak jauh Raphinha terkena palang, melantun dan terkena penjaga gol Inter, Yann Sommer, sebelum membolosi gawang Inter untuk gol penyamaan ketiga.
Pertemuan tersebut mengimbas perlawanan ikonik 15 tahun lalu antara kededua kelab gergasi Eropah itu ketika Jose Mourinho membimbing Inter untuk menyingkirkan pasukan kendalian Pep Guardiola.
Kini, walaupun ada yang meragui gaya permainan Barca, tiada siapa yang menafikan perlawanan tersebut sangat menghiburkan.
Gol-gol awal Inter menyentak penyokong tuan rumah, namun semangat kental Barca, dipimpin oleh Yamal, menyaksikan mereka kembali bersaing.
Meskipun Yamal menolak perbandingan dengan legenda kelab Lionel Messi, aksinya yang mempesona pasti membangkitkan lagi perbandingan tersebut.
Dengan Robert Lewandowski masih cedera, Yamal mengetuai barisan serangan Barca, mencipta peluang demi peluang, mengelirukan pertahanan, dan hampir menjaringkan satu lagi gol cantik jika tidak dihalang oleh Sommer.
Barcelona mencipta banyak peluang untuk menafikan kelebihan Inter.
Pertarungan taktikal antara dua pasukan yang mempersembahkan gaya permainan berbeza itu menyaksikan Barcelona masih mempunyai kekuatan untuk menjaringkan gol, tetapi Inter pastinya yakin selepas berjaya menjaringkan tiga gol ke atas barisan pertahanan yang tampak goyah.
Pasukan kendalian Hansi Flick, yang baru menjulang trofi Copa del Rey selepas menewaskan Real Madrid, pasti teruja menanti aksi di San Siro , terutamanya jika Yamal sekali lagi menjadi pemangkin kebangkitan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg