Topik diikuti
Pergi ke BHkuIraola lega tapi perlu tangani isu pemilihan pemain
Prestasi, keserasian skuad perlu dipertingkatkan
NEWCASTLE: Apabila Liverpool berkunjung ke Newcastle pada Ogos 2025, sorakan kegembiraan kuat bergema apabila Rio Ngumoha menjaringkan gol kemenangan yang menakjubkan pada minit ke-100.
Kali ini, Liverpool sekali lagi menjaringkan gol ketika detik akhir perlawanan menerusi sepakan penalti Dominik Szoboszlai pada minit ke-99.
Namun, gol berkenaan lebih terasa seperti satu kelegaan berbanding kegembiraan apabila mereka berjaya menyelamatkan satu mata.
Selepas perlawanan pada 23 Ogos, pengurus The Reds, Andoni Iraola, berkata pasukannya tidak sepatutnya tewas dan beliau memuji skuad berkenaan kerana terus berjuang sehingga berjaya mencatat keputusan seri 2-2.
Mujur Liverpool tidak tewas, kerana jika mereka mencatat kekalahan dalam perlawanan ini, ia akan menjadi kekalahan pertama skuad tersebut pada minggu pembukaan sejak musim 2012-13.
Keputusan seri ini sudah pasti menaikkan semangat mereka, namun ia tidak dapat menutup kebimbangan yang wujud.
“Ini mungkin bukan keputusan yang anda inginkan sebelum perlawanan bermula, tetapi kami sememangnya layak mendapat mata ini, malah lebih daripada itu.
“Pasukan tidak pernah menyerah kalah dan kami berjaya mengutip satu mata dan perasaannya mungkin lebih manis kerana kami menjaringkan gol pada minit terakhir,” kata Iraola.
Beliau berpuas hati dengan keputusan tersebut memandangkan pasukannya ketinggalan dua kali di Stadium St James’ Park.
Iraola perlu menilai semula persembahan pasukan yang turut jelas menunjukkan skuadnya memerlukan lebih banyak pilihan pemain.
Tumpuan penyokong dalam perlawanan pada 23 Ogos terarah kepada pemain tengah Liverpool, Florian Wirtz, dan penyerang Sweden, Alexander Isak, yang dibeli dari Newcastle pada September 2025.
Isak diejek tanpa henti oleh penyokong Newcastle setiap kali beliau menyentuh bola.
Sementara itu, Wirtz memulakan perlawanan dengan baik, namun dikeluarkan sejurus minit ke-60, selepas Newcastle mendahului 2-1.
Isak kelihatan bersemangat, namun mensia-siakan satu peluang keemasan pada separuh masa kedua – sesuatu yang biasa disempurnakan dengan mudah ketika beliau bersama Newcastle.
Kededua pemain yang dibeli dengan nilai sembilan digit pada musim panas lalu itu pasti sedar bahawa prestasi keseluruhan serta keserasian mereka dengan skuad perlu dipertingkatkan dalam tempoh beberapa minggu dan bulan mendatang.
Liverpool ketika ini kekal sebagai pasukan yang menimbulkan lebih banyak tanda tanya berbanding jawapan.
Salah satu persoalan utama adalah mengenai masa depan Cody Gakpo.
Sekiranya Liverpool membawa masuk dua lagi penyerang baharu, Gakpo mungkin bakal dilepaskan.
Kelab itu telah dikaitkan dengan dua pemain Paris St-Germain (PSG), Bradley Barcola dan Ibrahim Mbaye, selain dua bidaan mereka untuk mendapatkan pemain Brighton, Yankuba Minteh.
Namun, pemain Belanda, Gakpo, merupakan pemain terbaik Liverpool dalam perlawanan menentang Newcastle dan menjaringkan gol dengan begitu cemerlang pada minit ke-55.
Seorang lagi pemain yang menunjukkan prestasi baik ialah penyerang Sepanyol, Victor Munoz, yang membuat penampilan sulungnya dari bangku simpanan.
Munoz memenangi penalti di penghujung perlawanan selepas menggantikan Ngumoha.
Keputusan Iraola untuk mengeluarkan pemain remaja Inggeris itu sebaik sahaja melepasi minit ke-60 jelas menggambarkan betapa Ngumoha bergelut di bahagian kanan.
Ngumoha, yang lebih gemar beraksi di posisi sayap kiri sepanjang kerjayanya, kelihatan gagal memberikan persembahan baik apabila beraksi di bahagian bertentangan.
Meskipun Iraola mahu pemain sayapnya mampu beraksi di kededua belah bahagian, pendekatan itu dijangka berubah sebaik sahaja Liverpool membawa masuk lebih ramai pemain serangan.
Apa yang pasti, Iraola memerlukan lebih banyak pilihan pemain sebelum tempoh pemindahan pemain ditutup pada 1 September. – Agensi berita.
