Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isteri Raphinha serang Fifa selepas suami diketepikan

Dec 18, 2025 | 1:37 PM
Raphinha, Natalia Rodrigues, barcelona, fifa
Isteri Raphinha, Natalia Rodrigues, seakan tidak percaya apabila pemain sayap Barcelona itu diketepikan secara mengejut daripada senarai kesebelasan terbaik Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2025. - Foto EPA

DOHA: Isteri Raphinha, Natalia Rodrigues, seakan tidak percaya apabila pemain sayap Barcelona itu diketepikan secara mengejut daripada senarai kesebelasan terbaik Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2025, walaupun menghuni tangga kelima dalam ranking Ballon d’Or.

Barisan pemain diumumkan di Doha, Qatar, yang mana ramai nama besar bola sepak hadir untuk memeriahkan majlis anugerah tahunan Fifa.

Gianluigi Donnarumma dinamakan sebagai penjaga gol di belakang empat pemain pertahanan Achraf Hakimi, William Pacho, Virgil van Dijk dan Nuno Mendes, diikuti kuartet tengah Cole Palmer, Jude Bellingham, Vitinha dan Pedri serta dua penyerang Lamine Yamal dan Ousmane Dembele.

Bagi kebanyakan pihak, pasukan terbaik 2025 menampilkan 11 pemain bintang yang layak, semua mencapai kejayaan domestik atau Eropah musim lalu – tetapi tidak bagi pasangan Raphinha, Rodrigues.

Pemain sayap Barcelona itu antara beberapa bintang yang diketepikan di samping Erling Haaland dan Mohamed Salah.

Rodrigues tidak menunggu lama untuk meluahkan kekecewaannya di media sosial.

Menurut laporan portal Portugal, A Bola, Rodrigues menulis dalam satu InstaStory yang kini sudah dipadam: “Adakah Raphinha seorang pemain bola keranjang?”

Raphinha memang menikmati musim 2025 yang cemerlang, dengan 34 gol dan 26 umpanan gol buat Barcelona ketika menempah tempat ke separuh akhir Liga Juara-Juara dan meraih gelaran La Liga.

Pencapaian itu membolehkannya menempatkan diri di tangga kelima anugerah Ballon d’Or pada September lalu serta dinobat sebagai Pemain Terbaik La Liga 2024-25, menewaskan rakan sepasukannya Lamine Yamal.

Bagaimanapun, pemain Brazil itu hanya membuat 10 penampilan musim ini susulan kecederaan, yang mungkin menjadi faktor beliau diketepikan daripada kesebelasan terbaik Fifa. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg