Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ousmane Dembele ungguli Anugerah Terbaik Fifa

Dec 17, 2025 | 2:29 PM
Ousmane Dembele, Gianni Infantino, FIFA
Ousmane Dembele (kiri) bersama Presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Gianni Infantino, selepas menerima anugerah Pemain Lelaki Terbaik Fifa di Doha, Qatar. - Foto FIFA

DOHA: Penyerang Perancis dan Paris Saint-Germain (PSG), Ousmane Dembele, dinobat sebagai Pemain Lelaki Terbaik Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) pada majlis anugerah di Qatar awal pagi 17 Disember, manakala perancang tengah Barcelona, Aitana Bonmati, merangkul anugerah kategori wanita.

Dembele, 28 tahun, sebelum ini memenangi anugerah Ballon d’Or pada September lalu, sebagai ganjaran terhadap musim cemerlang bersama PSG yang menyaksikan kelab Ligue 1 itu menjulang gelaran Liga Juara-Juara buat kali pertama.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan. Kerja keras pasti berbaloi, ini tahun yang sangat hebat buat saya, secara individu dan berpasukan,” kata Dembele selepas majlis yang berlangsung menjelang perlawanan akhir Piala Antara Benua antara PSG dengan Flamengo, yang turut diadakan di Qatar.

Bekas penyerang Borussia Dortmund dan Barcelona itu, yang juga anggota skuad Perancis juara Piala Dunia 2018, meledak 35 gol dalam semua pertandingan ketika PSG meraih gelaran berganda liga dan piala Perancis selain kejayaan di Eropah.

Pengendali PSG dari Sepanyol, Luis Enrique, dipilih sebagai jurulatih terbaik pasukan lelaki, mengatasi Hansi Flick dari Barcelona dan pengurus Liverpool yang menjuarai Liga Perdana England, Arne Slot.

Bonmati, 27 tahun, pula dinobat sebagai Pemain Wanita Terbaik Fifa buat kali ketiga berturut-turut, selepas turut memenangi Ballon d’Or ketiga berturut-turut pada musim luruh lalu.

“Saya amat bersyukur menerima penghormatan ini,” katanya sebelum mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan, jurulatih serta penyokong yang mengundinya.

Anugerah peribadi itu hadir selepas tahun yang penuh turun naik buat pemain Sepanyol berkenaan, yang menjuarai liga domestik tetapi tewas pada final Liga Juara-Juara dan Kejohanan Eropah musim lalu.

Bonmati dinamakan pemain terbaik kejohanan Euro walaupun tidak diturunkan dalam dua perlawanan awal Sepanyol ketika beliau masih pulih daripada jangkitan meningitis.

Beliau kini berehat akibat kecederaan selepas mengalami patah kaki ketika latihan, sehari sebelum Sepanyol menewaskan Jerman pada aksi timbal balik final Liga Negara-Negara.

Pengurus England, Sarina Wiegman, memenangi anugerah jurulatih terbaik pasukan wanita selepas membimbing pasukannya menjuarai Kejohanan Eropah buat kali ketiga berturut-turut pada musim panas.

Bagi kategori penjaga gol, Gianluigi Donnarumma, dari Italy yang menyertai Manchester City selepas menjuarai Liga Juara-Juara bersama PSG, memenangi anugerah lelaki, manakala Hannah Hampton dari Chelsea yang menjuarai Euro 2025 memenangi kategori wanita.

Santiago Montiel meraih Anugerah Puskas bagi gol terbaik 2025 hasil jaringan gunting dari luar kotak penalti ketika mewakili Independiente menentang Independiente Rivadavia dalam liga utama Argentina.

Anugerah Marta pula dimenangi Lizbeth Ovalle menerusi jaringan sepakan kala jengking bersama Tigres ketika menentang Guadalajara dalam perlawanan liga Mexico.

Pemenang dipilih berdasarkan undian gabungan peminat, wakil media, kapten serta jurulatih pasukan kebangsaan bagi prestasi antara 11 Ogos 2024 dengan 2 Ogos 2025. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg