BERLIN: Di atas kertas, juara bertahan Italy melangkah masuk padang Stadium Berlin pada tengah malam 30 Jun (waktu Singapura) sebagai pasukan pilihan untuk menewaskan Switzerland.
Namun, hakikatnya ialah Italy sejauh ini gagal menunjukkan prestasi sebenar mereka sebagai juara bertahan, dengan rekod menang sekali, seri sekali dan kalah sekali dalam Kumpulan B.
Malah, jika tidak kerana gol penyamaan Mattia Zaccagni pada masa tambahan minit ke-98 semasa menentang Croatia, Italy sudah pulang ke tanah air sekarang.
“Kami tahu kami harus bermain dengan lebih baik,” akur jurulatih Italy, Luciano Spalletti.
“Namun, yang penting ialah kami mara ke pusingan kalah mati, dan mempunyai peluang untuk menunjukkan kami wajar berada di sini,” tambahnya.
Pemain midfield Italy, Jorginho, berkata: “Sebagai sebuah pasukan, kami kecewa. Kami telah berbincang sesama kami dan berazam akan bermain dengan lebih baik. Kami tahu kami mampu melakukannya.”
Dalam pada itu, Switzerland sekali lagi berjaya ke pusingan kalah mati sebuah kejohanan utama.
Dalam kejohanan sebelum ini, pasukan pimpinan Murat Yakin itu kerap gagal meneruskan perjuangan mereka.
Namun, menyusuli persembahan meyakinkan pada peringkat kumpulan, terdapat satu keyakinan baru dalam kalangan penyokong dan skuad Switzerland.
Pemain pertahanan Switzerland, Manuel Akanji, berkata: “Kami tahu laluannya sukar. Tapi kami yakin dengan kebolehan kami sebagai sebuah pasukan dan akan memberikan segala-galanya.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg