Topik diikuti
Pergi ke BHkuIzairida Shakira srikandi negara, bantu skuad mara ke Kejohanan Wanita Asean 2027
Izairida Shakira srikandi negara, bantu skuad mara ke Kejohanan Wanita Asean 2027
Raih tempat ketiga Piala AFF Wanita, sahkan kelayakan
Izairida Shakira srikandi negara, bantu skuad mara ke Kejohanan Wanita Asean 2027
Tekanan yang dirasakan semasa Izairida Shakira berdiri di depan gawang dan berdepan dengan pemain lawan bak perasaan yang tidak pernah dirasainya sebelum ini.
Singapura sedang mendahului Kemboja 4-3 menerusi tendangan penalti selepas jaringan terikat seri di Stadium Kuala Lumpur pada 22 Julai.
Dalam perlawanan untuk menentukan tempat ketiga dan keempat di Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Wanita itu, pertaruhannya bagi Singapura lebih besar daripada pingat gangsa.
Singapura sedang bersaing untuk mendapat tempat ketiga dan melayakkan diri ke Kejohanan Wanita Asean 2027.
“Terdapat banyak tekanan tetapi sebaik sahaja saya berada di garisan dan menunggu pemain lawan mengambil sepakan penalti, saya hanya percaya kepada diri sendiri dan yakin dengan naluri saya, dan itulah yang melayakkan kami ke kejohanan (seterusnya),” kata Izairida, bercakap kepada akhbar The Straits Times.
Tambahnya:
“Pelbagai emosi yang saya rasakan ketika itu – gembira, lega dan segalanya. Sebaik sahaja saya menyelamatkan sepakan itu dan mengetahui kami layak, kami semua amat gembira.”
Kejayaan Izairida, 19 tahun, menyelamatkan tendangan Sovanmony Heng itu memberikan Singapura kelebihan yang tidak dapat digugat dan menjamin Singapura menang, sekali gus mara ke kejohanan yang didamba itu.
Ia juga merupakan tendangan kedua yang diselamatkan dalam tempoh tendangan penalti tersebut, selepas beliau menyelamatkan percubaan Kemboja yang ketiga.
Melebihi pencapaian peribadi, kemenangan itu juga menandakan satu kebangkitan bagi Singapura, yang menduduki tangga ke-151 di ranking dunia.
Mereka tewas 0-5 kepada lawan yang sama dalam satu perlawanan persahabatan di Bandung, Indonesia.
Kemboja berada di tangga ke-113 di ranking dunia.
Namun pada 22 Julai, pasukan negara memulakan perlawanan dengan Kemboja langkah kanan, apabila Danelle Tan menjaringkan gol pada minit ke-24.
Kelebihan itu namun dihapuskan pada minit ke-74
Singapura berjaya menjaringkan gol pada minit ke-24. Pemain pertahanan tengah, Umairah Hamdan, menghantar bola panjang yang dikawal dengan baik oleh Danelle Tan sebelum beliau menyempurnakan jaringan.
Kemboja kemudian menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti oleh Vipha Soeurn pada minit ke-74, memaksa perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.
Sarah Zu’risqha, 19 tahun, yang menjaringkan sepakan kelima untuk meletakkan Singapura di hadapan semasa tendangan penalti berkata rakan sepasukannya banyak membantu beliau kekal tenang pada tempoh yang amat memberi tekanan itu.
“Terdapat banyak pasang surut semasa kejohanan ini, jadi apabila kami melangkah ke perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, saya dapat melihat kami semua amat mahukan tempat kelayakan terakhir itu,” kata Sarah.
Menurutnya, bagi kejohanan seterusnya, perkara paling penting adalah sentiasa meningkatkan persefahaman dan ikatan sebagai satu pasukan.
Ketua jurulatih, Mihoko Ishida, memuji para pemainnya atas ketabahan dan kerja keras mereka dalam bertahan, memandangkan mereka sebelum ini melepaskan tiga daripada lima jaringan kepada Kemboja menerusi sepakan bola mati semasa perlawanan persahabatan.
“Ia adalah satu perlawanan yang sukar. Namun, para pemain bekerja keras.”
“Sebelum perlawanan, kami berkongsi tugas yang sepatutnya dilakukan dalam pertahanan dan serangan, dan para pemain juga tidak berputus asa sehingga membawa kepada keputusan ini,” kata Ishida.
Pasukan bola sepak negara memulakan pertandingan dan kempen kelayakan ini dengan keputusan seri 1-1 semasa menentang Laos dan menyusuli itu, kemenangan 3-1 ke atas Malaysia.
Ia merupakan kemenangan pertama ke atas pasukan dari negara jiran terdekat dalam tujuh pertemuan, sebelum tewas 0-2 kepada Indonesia di peringkat separuh akhir.
Dalam perlawanan akhir pada 22 Julai, Indonesia mempertahankan gelaran mereka dengan kemenangan 5-0 ke atas Laos.
Ishida berkata beliau akan menyusun strategi pasukan selepas mengkaji semula kempen mereka sebagai persiapan bagi Kejohanan Wanita Asean.
Beliau menambah bahawa para pemain kini mempunyai keyakinan tinggi dan ia merupakan satu permulaan yang baru.
Bagi Izairida, masih banyak yang perlu dilakukan pasukannya selepas mencapai matlamat kelayakan mereka.
“Kami perlu memastikan jumlah kecederaan rendah dan tenaga kami dapat bertahan sepanjang perlawanan, tetapi selain itu, saya amat gembira kerana kami melepasi garisan kelayakan dengan pasukan dan kakitangan ini,” tambah beliau.