PARIS: Pelakon seni pertahanan popular dari Hong Kong, Jackie Chan, dinamakan sebagai salah seorang pembawa obor pada 25 Ogos menjelang majlis pembukaan acara Sukan Paralimpik di Paris.
Bintang veteran berusia 70 tahun itu, yang terkenal dengan aksi akrobatik dalam filem Hollywood seperti, Rush Hour, akan memegang obor pada 28 Ogos petang di ibu kota Perancis itu, genap beberapa jam sebelum majlis pembukaan acara itu berlangsung.
Demikian diumumkan jawatankuasa penganjuran pertandingan tersebut yang turut mendedahkan pelakon Perancis, Elsa Zylberstein, dan pengatur gaya tarian, Benjamin Millepied, turut akan menyertai barisan larian itu.
Sama seperti majlis pembukaan Sukan Olimpik, acara pada 28 Ogos itu akan berlangsung tidak terhad di stadium Stade de France sahaja dengan perbarisan yang akan diadakan dari Champs-Elysees hingga ke Place de la Concorde di pusat bandar Paris.
Obor yang dinyalakan pada 24 Ogos lalu di Stoke Mandeville, Britain, tempat lahir bersejarah Sukan Paralimpik, tiba di Perancis menerusi Terowong Channel pada 25 Ogos dan dibawa pemegang pingat bermain pedang berkerusi roda, Perancis, Emmanuelle Assman.
Menteri Sukan Perancis, Cik Amelie Oudea-Castera – yang hadir ketika menyambut kedatangan obor itu bersama Tony Estanguet, ketua jawatankuasa penganjuran – berkata:
“Ini semua adalah bagi memupuk minat sukan dalam hati mereka yang kurang upaya.”
Obor itu akan meneruskan perjalanannya dengan dibahagikan kepada 12 obor Paralimpik lain yang akan dibawa oleh seramai 1,000 pemegang di sekitar 50 bandar dalam 12 larian bersilih ganti.
Acara larian itu akan sampai ke kemuncak di Paris pada 28 Ogos bagi acara pembukaan tersebut. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg