Selepas satu perlawanan penting, tatkala kebanyakan jurulatih mungkin masih memikirkan tentang keputusan perlawanan, taktik atau kesilapan yang berlaku di atas padang, Gavin Lee pula mempunyai perkara lain untuk difikirkan – cahaya mata lelakinya yang belum pun mencecah usia empat bulan.

Bagi Gavin, dunia bola sepak penuh dengan tekanan, jangkaan dan tuntutan untuk memimpin Singapura.

Namun, sejak bergelar seorang bapa, beliau semakin menyedari bahawa terdapat kehidupan yang jauh lebih besar daripada sekadar 90 minit permainan di atas padang.

“Setiap kali saya mendapat peluang untuk melihatnya (anaknya), dia benar-benar membawa kegembiraan yang tidak terhingga,” katanya sambil tersenyum lebar.

Dalam satu podcast bersama Berita Harian (BH), ketua jurulatih Singa itu berkongsi sisi kehidupannya di luar padang – tentang peranannya sebagai seorang bapa dan makna menjadi bapa buat dirinya.

Perkongsian beliau hadir pada waktu yang cukup penting.

Pasukan Singa bimbingan Gavin Lee bakal menghadapi pertandingan Piala Asean Fifa sebelum mereka mengharungi cabaran Piala Asia AFC 2027 di Arab Saudi.
Pasukan Singa bimbingan Gavin Lee bakal menghadapi pertandingan Piala Asean Fifa sebelum mereka mengharungi cabaran Piala Asia AFC 2027 di Arab Saudi. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Selepas baru sahaja membimbing Singapura mengharungi Piala Asean Hyundai, Gavin kini mengalihkan tumpuannya pada persiapan bagi tempoh yang lebih mencabar.

Pasukan Singa bakal beraksi dalam edisi sulung Piala Asean Fifa pada September dan Oktober ini sebelum mengalihkan perhatian kepada Piala Asia AFC 2027 di Arab Saudi pada awal 2027.

Bagi Gavin, 35 tahun, yang telah membina kerjayanya dalam dunia bola sepak dan kejurulatihan, tuntutan tugasnya hanya akan menjadi semakin berat dalam beberapa bulan akan datang.

Namun, di sebalik ketenangan yang dipamerkan selaku ketua jurulatih Singa, beliau sebenarnya sedang mengemudi dua fasa terbesar dalam hidupnya secara serentak – membina sebuah pasukan kebangsaan di samping belajar menggalas tanggungjawab sebagai seorang bapa.

Sebelum bergelar suami dan bapa, Gavin sendiri mengakui bola sepak hampir menjadi segala-galanya dalam hidupnya.

Malah, selepas keputusan buruk atau prestasi yang mengecewakan, beliau mengakui dirinya bukanlah individu yang paling mudah untuk didekati.

Namun, perspektif itu mula berubah apabila beliau bertemu isterinya, Wariya Cheersirikul, 37 tahun.

“Apabila saya bertemu dengan isteri saya, beliau mengingatkan saya bahawa ada perkara lain dalam hidup ini selain daripada bola sepak,” kongsi Gavin.

Kini, dengan kelahiran bayi mereka, Jude Kawin Lee, pada 30 Mei, perubahan itu menjadi semakin jelas.

Namun, ini bukan bermakna Gavin semakin kurang serius terhadap bola sepak.

Sebaliknya, beliau semakin memahami bahawa bola sepak hanyalah satu bahagian daripada kehidupan.

Beliau teringat satu detik selepas perlawanan apabila berpeluang melihat anaknya.

“Saya sempat melihat anak lelaki saya di dalam bilik ini (di Stadium Jalan Besar) dan saya sedar dia langsung tidak peduli tentang keputusan perlawanan.

“Dia cuma mahu bersama saya. Dan itu benar-benar sesuatu yang luar biasa,” katanya.

Gavin dianggap sebagai seorang yang sangat serius dan juga seorang yang sangat menjaga privasi, namun apabila berbual tentang anaknya, beliau mula bergurau.

“Baru-baru ini saya bercakap dengan anak saya. Anda tahu, kerana mereka menggalakkan anda bercakap dengan anak anda, jadi ya saya bercakap dengan dia tentang bagaimana untuk menghayati rasa tidak selesa itu,” katanya sambil ketawa.

Ungkapan itulah yang juga sering digunakan dalam konteks perkembangan pemainnya sendiri.

Kehadiran bayi lelaki, Jude Kawin Lee. yang belum mencecah empat bulan membawa kegembiraan dan memberi perspektif baharu buat Gavin Lee dalam kehidupannya di luar padang bola sepak.
Kehadiran bayi lelaki, Jude Kawin Lee. yang belum mencecah empat bulan membawa kegembiraan dan memberi perspektif baharu buat Gavin Lee dalam kehidupannya di luar padang bola sepak. - Foto INSTAGRAM GAVIN13LEE

Bagi seorang jurulatih, menjadi bapa memberikan satu lagi dimensi apabila berurusan dengan pemain.

Gavin sendiri mengakui bahawa sebelum mempunyai anak, beliau hanya memahami cabaran yang dihadapi pemain apabila mereka bergelar bapa secara teori.

Sekarang, beliau lebih memahami perasaan itu sendiri.

Dan ia turut membuka topik perbualan yang sebelum ini mungkin tidak pernah timbul dalam bilik persalinan.

“Sekarang saya ada lebih banyak topik untuk berbual dengan pemain,” katanya sambil ketawa lagi.

“Kami boleh berbual tentang penjagaan bayi, kami boleh berbual tentang susu dan macam-macam lagi.”

Gavin tidak sekadar menganggap pemain-pemainnya sebagai sekadar pemain.

Beliau sedar mereka mempunyai keluarga, anak, pasangan, masalah dan kehidupan di luar bola sepak.

Mungkin inilah rahsia ‘rasa kekitaan’ yang ada dalam skuad Singa sekarang.

Ketua jurulatih Singa, Gavin Lee (kiri), bersama kapten pasukan, Hariss Harun, ketika sesi podcast Berita Harian di Stadium Jalan Besar. Mereka berkongsi tentang pengajaran yang mereka dapat raikan daripada pertandingan Piala Asean Hyundai dan juga cabaran mereka mengimbangi komitmen negara dan keluarga.
Ketua jurulatih Singa, Gavin Lee (kiri), bersama kapten pasukan, Hariss Harun, ketika sesi podcast Berita Harian di Stadium Jalan Besar. Mereka berkongsi tentang pengajaran yang mereka dapat raikan daripada pertandingan Piala Asean Hyundai dan juga cabaran mereka mengimbangi komitmen negara dan keluarga. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
Hubungan akrab antara Gavin Lee (barisan depan, paling kanan) dengan Hariss Harun (barisan depan, paling kiri) telah terjalin sejak mereka beraksi bersama untuk Akademi Bola Sepak Nasional (NFA) pada 2005 dan 2006.
Hubungan akrab antara Gavin Lee (barisan depan, paling kanan) dengan Hariss Harun (barisan depan, paling kiri) telah terjalin sejak mereka beraksi bersama untuk Akademi Bola Sepak Nasional (NFA) pada 2005 dan 2006. - Foto fail

Perjalanan beliau bersama kapten Singa, Hariss Harun, juga mempunyai sejarah panjang.

Hariss sebenarnya sudah mengenali Gavin ketika mereka masih membesar.

Mereka pernah bermain bersama dengan pasukan Akademi Bola Sepak Nasional (NFA) pada 2005 dan 2006.

Kini, Gavin ialah ketua jurulatih, manakala Hariss pula antara pemain paling senior serta kapten skuad Singa.

Perbezaan peranan itu menjadikan hubungan mereka unik.

Namun, Hariss menekankan bahawa ia tidak pernah menjadi penghalang antara mereka.

Bagi mereka, rasa hormat menjadi sempadan utama.

“Sudah tentu dari segi bola sepak, kami sepasukan berikannya segala penghormatan,” kata Hariss.

Setelah lama Hariss mengenal Gavin, salah satu perkara yang paling menonjol tentang Gavin sejak dahulu ialah ketekalannya.

Menurut Hariss, Gavin mungkin bukan pemain yang paling menonjol ketika itu, tetapi beliau sentiasa hadir – sentiasa datang latihan, sentiasa bekerja keras di padang latihan.

Dan sehingga kini, Hariss akur melihat sifat yang sama masih ada pada Gavin.

“Semangat dan cintanya kepada bola sepak sangat luar biasa,” kata Hariss.

Komitmen itu juga dapat dilihat melalui apa yang dialami Hariss selepas kekalahan 1-3 Singa kepada Thailand pada 15 Ogos.

“Kami tidak bermain dengan baik, jadi banyak perkara yang saya fikirkan hingga tidak boleh tidur. Saya rasa tertekan dan fikiran berserabut. Jadi saya pilih untuk mesej Gavin,”

“Ini awal 5 atau 6 pagi, tetapi ternyata Gavin masih terjaga dan kami bertemu untuk bercakap sedikit tentang perlawanan itu dan juga tentang perkara lain,” cerita Hariss.

Ini menunjukkan walaupun sudah menjadi seorang bapa, Gavin masih memiliki kesungguhan yang sama terhadap bola sepak.

Yang jelas, sebagai seorang bapa, beliau kini lebih terdorong dan lebih bersemangat untuk membimbing pasukan Singa untuk meraih lebih banyak kejayaan.