Pintu masih terbuka bagi pemain Singa untuk merebut tempat dalam skuad Piala Asia, dengan kurang daripada empat bulan sebelum bermulanya kejohanan Piala Asia Arab Saudi 2027.

Itulah yang dikatakan jurulatih Singa, Gavin Lee, semasa podcast bersama Berita Harian (BH) di Stadium Jalan Besar pada 2 September.

Selepas lima tempoh penilaian dan pemilihan pemain, tonggak utama pasukan kebangsaan yang menjadi pilihan Gavin dilihat semakin terbentuk, namun menegaskan beliau masih mencari pemain terbaik untuk mewakili Singapura.

Bagi Gavin, kesinambungan tonggak pasukan tidak bermakna seseorang pemain itu sudah mendapat jaminan beraksi untuk Singa.

“Tonggak utama skuad ini memerlukan kesinambungan supaya mereka semakin memahami antara satu sama lain apabila berdepan situasi lebih sukar. Kemudian, sebagai satu kumpulan, kami boleh berkembang bersama,” kata jurulatih berusia 35 tahun itu.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa tiada pemain boleh menganggap tempat mereka dalam skuad sudah terjamin.

“Tiada siapa memiliki tempat beraksi untuk Singa. Jersi itu bukan menjadi hak sesiapa. Tiada siapa yang dijamin mendapat tempat mereka,” tambahnya.

Itulah pendekatan yang mahu dikekalkan Gavin – membina pasukan yang semakin serasi, sambil memastikan persaingan untuk mendapatkan tempat kekal terbuka.

Setiap tempoh pemilihan pasukan antarabangsa, katanya, merupakan peluang untuk menilai semula keadaan dan prestasi pemain.

“Jika pemain dalam kelompok teras tidak berada dalam keadaan yang membolehkan mereka menyumbang kepada pasukan, kami akan memanggil pemain yang kami rasakan merupakan pemain terbaik untuk membentuk pasukan ini,” jelasnya.

Begitu juga dengan pemain lain yang mungkin menunjukkan peningkatan prestasi dalam beberapa bulan akan datang.

Walaupun mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Thailand dalam perlawanan separuh akhir Piala Asean Hyundai di Bangkok pada 18 Ogos, pasukan Singa akhirnya tersingkir menerusi keputusan agregat 4-3.
Walaupun mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Thailand dalam perlawanan separuh akhir Piala Asean Hyundai di Bangkok pada 18 Ogos, pasukan Singa akhirnya tersingkir menerusi keputusan agregat 4-3. - Foto FAS
Kapten skuad Singa, Hariss Harun, menyuarakan pandangan bahawa pasukan kini semakin matang menghadapi tekanan, namun masih perlu memperkemaskan aspek pertahanan dan ketajaman serangan.
Kapten skuad Singa, Hariss Harun, menyuarakan pandangan bahawa pasukan kini semakin matang menghadapi tekanan, namun masih perlu memperkemaskan aspek pertahanan dan ketajaman serangan. - Foto FAS

Pasukan Singa baru sahaja mengakhiri kempen Piala Asean Hyundai mereka selepas disingkirkan oleh Thailand di peringkat separuh akhir pada 18 Ogos.

Apabila ditanya mengenai pencapaian pasukan, Gavin berkata pasukan negara telah menunjukkan semangat yang baik dan menghasilkan beberapa prestasi hebat.

Namun beliau tidak mahu pemain menganggap keputusan baik sebagai tiket untuk berpuas hati atau merasakan diri mereka sudah mencapai tahap yang diingini.

Sebaliknya, setiap kemenangan perlu dijadikan sebahagian daripada proses pembuktian keupayaan sebenar mereka.

“Kami sudah mula melihat gambaran tentang potensi sebenar pasukan dan ke mana arah tujuan kami,” katanya.

“Namun, cabaran utama kami kini adalah bagaimana mahu memastikan persembahan sedemikian dapat ditunjukkan secara konsisten dan berterusan.”

Kapten pasukan, Hariss Harun, turut bersetuju dengan pandangan tersebut.

Beliau menilai Singa kini semakin matang dan selesa apabila berdepan perlawanan yang sukar.

Skuad negara tidak lagi mudah hilang arah apabila ditekan, malah berupaya bertahan serta kekal fokus sehingga peluang keemasan menjelma.

Namun, Hariss tidak berselindung tentang aspek yang masih perlu ditambah baik oleh pasukan.

“Kami masih perlu memperbaiki cara bertahan, mencipta peluang, dan menjaringkan gol.

“Selain itu, kami juga perlu belajar untuk kekal fokus dalam permainan sepanjang 90 minit perlawanan,” katanya.

Dengan pelbagai aspek yang perlu dimantapkan, masa untuk meningkatkan dan mempersiapkan diri semakin singkat.

Singa kini hanya mempunyai dua tempoh rehat antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) terakhir sebelum Piala Asia 2027 – jendela September-Oktober yang merangkumi Piala Asean Fifa, dari 24 September hingga 3 Oktober.

Dan semasa tempoh rehat November, dari 9 hingga 17 November, pasukan Singa bakal berdepan Brazil, Jepun, Paraguay dalam siri perlawanan persahabatan Mizuho Blue Challenge – The Kallang Football Series Singapore.

Selepas itu, tumpuan akan beralih sepenuhnya kepada Piala Asia di Arab Saudi, yang dijadualkan berlangsung dari Januari hingga awal Februari 2027.

Singapura berada dalam Kumpulan D bersama Australia, Iraq dan Tajikistan.

Justeru, dua tempoh antarabangsa Fifa terakhir ini bukan sekadar persiapan biasa.

Bukan sekadar untuk Gavin memperkemaskan gaya permainan pasukan dan memastikan pasukan tiba di Saudi dalam keadaan terbaik, bahkan menjadi peluang terakhir buat pemain di luar tonggak utama pasukan untuk mencabar kedudukan pemain sedia ada.

“Kami akan memanfaatkan segala yang ada. Kami mengambil pengajaran daripada setiap perlawanan sebelum ini dan terus memperbaiki diri sebanyak mungkin,” tegasnya.

Antara persoalan yang masih belum terjawab ialah sama ada Perry Ng sempat menyertai Singapura sebelum Piala Asia.

Pemain pertahanan Cardiff City, Perry Ng, sudah menjalani latihan bersama pasukan Singa sejak 2025. Beliau kini menanti proses permohonan kewarganegaraannya menerusi Skim Bakat Sukan Asing untuk menyertai skuad Singa secara rasmi.
Pemain pertahanan Cardiff City, Perry Ng, sudah menjalani latihan bersama pasukan Singa sejak 2025. Beliau kini menanti proses permohonan kewarganegaraannya menerusi Skim Bakat Sukan Asing untuk menyertai skuad Singa secara rasmi. - Foto FAS

Pemain pertahanan Cardiff City itu sudah menjadi penduduk tetap Singapura dan kini menunggu perkembangan permohonan kewarganegaraannya melalui Skim Bakat Sukan Asing.

Pada Jun lalu, Ng memberitahu BH bahawa keinginannya untuk mewakili Singapura semakin kuat sementara menunggu proses tersebut.

Namun, Gavin tidak mahu membuat perancangan berdasarkan sesuatu yang masih belum pasti.

“Pada akhirnya, saya hanya boleh membuat perancangan berdasarkan apa yang ada di hadapan kami buat masa ini,” katanya.

Buat masa ini, tumpuan Gavin adalah kepada pemain yang tersedia untuk Piala Fifa Asean terlebih dahulu.

“Buat masa ini, bagi saya, fokus hanya kepada pemain yang tersedia untuk Piala Fifa Asean, kemudian kami akan lihat bagaimana keadaan seterusnya,” tambahnya.