MUNICH (Jerman): Jadual perlawanan padat Bayern Munich telah menjejas prestasi mereka sehingga menyebabkan keputusan seri 1-1 di tempat sendiri menentang Celtic pada 18 Februari, dakwa pengurus Vincent Kompany.
Pasukannya terpaksa menjaringkan gol penyamaan pada masa tambahan untuk mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara.
Pasukan gergasi Jerman itu layak dengan agregat 3-2 dalam pusingan play-off mereka.
Namun ini hanya selepas mereka berjuang habis-habisan menentang pasukan Scotland itu, yang mempunyai peluang lebih baik dan mendahului pada minit ke-63 melalui jaringan Nicolas Kuehn, bekas pemain simpanan Bayern.
Pasukan tuan rumah memerlukan gol pada saat-saat akhir oleh Alphonso Davies untuk memastikan tempat di pusingan seterusnya selepas kemenangan 2-1 minggu lalu di Glasgow.
Pendahulu Bundesliga, Bayern, berada di Celtic minggu lalu sebelum menentang juara bertahan, Bayer Leverkusen pada 15 Februari, yang mana mereka seri tanpa sebarang jaringan.
“Kami sentiasa berkata tentang jumlah perlawanan yang perlu kami main dalam tempoh enam hari,” kata Kompany.
“Tidak mudah untuk melalui jadual sebegini. Anda perlu lihat dalam konteks ini. Matlamat kami adalah supaya prestasi dan keputusan kami seiring, bermula Ahad ini.”
Bayern, yang mempunyai kelebihan lapan mata di hadapan Leverkusen yang berada di tempat kedua dalam Bundesliga, mungkin beraksi tanpa Harry Kane pada 23 Februari di tempat sendiri menentang Eintracht Frankfurt, yang berada di tempat ketiga, dengan penyerang itu terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama.
“Kami berada di Glasgow pada Rabu. Kemudian Leverkusen. Banyak tenaga diperlukan. Ia adalah perkara biasa selepas perlawanan kedua untuk mengambil satu hari tambahan untuk pemulihan,” tambah Kompany.
Kane berkata beliau kemungkinan terlepas perlawanan menentang Frankfurt setelah mendedahkan bahawa terdapat masalah pada betisnya.
“Kami akan buat imbasan dan kemudian kami akan lihat. Saya tak pasti kalau saya boleh bermain menentang Frankfurt pada Ahad,” katanya sambil menambah bahawa kecederaan rahang yang dialaminya akibat perlanggaran dalam perlawanan menentang Leverkusen masih mengganggunya.
Bayern akan mengetahui lawan mereka di pusingan 16 terakhir pada 21 Februari. Ia mungkin menentang Leverkusen atau pasukan Sepanyol, Atletico Madrid.
Sementara itu Celtic akan mendapat semangat daripada prestasi mereka sepanjang dua perlawanan ini.
“Ia tidak pernah kelihatan seperti kami akan dibolosi gol yang kami terima dan malangnya bagi kami, ia berlaku. Saya hanya boleh berbangga dengan prestasi pasukan dan mereka memberikan segalanya,” kata pengurus Celtic, Brendan Rodgers. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg