BIRMINGHAM: Pemain tengah Aston Villa, Jacob Ramsey, mengambil kurang satu minit untuk menjaringkan gol pertama Villa, dengan Morgan Rogers pula menambah satu lagi gol pada separuh masa kedua untuk meraih kemenangan 2-1 ke atas Tottenham Hotspur pada 10 Februari.
Kemenangan ini bermakna Villa berjaya mara ke pusingan kelima Piala FA buat kali pertama dalam 10 tahun.
Villa mengambil hanya 58 saat untuk menjaringkan gol apabila Rogers menembusi pertahanan Spurs dengan mudah sebelum menghantar bola kepada Ramsey untuk menjaringkan gol.
Penjaga gawang Spurs, Antonin Kinsky, berjaya menggunakan kededua tangannya untuk cuba menghentikan sepakan pemain berusia 23 tahun itu, tetapi dia tetap tidak berjaya menghalang bola itu daripada membolosi gawangnya.
Rogers menggandakan kelebihan Villa pada minit ke-64 apabila pemain pertahanan Spurs Pedro Porro tidak dapat menyepak keluar hantaran Leon Bailey, dan Rogers mengambil peluang tersebut untuk menjaringkan gol dari jarak dekat.
Itu merupakan jaringan ke-11 Rogers musim ini dalam semua pertandingan bagi pasukan bimbingan Unai Emery.
Pemain pinjaman dari Manchester United, Marcus Rashford, yang tidak bermain sejak 12 Disember, juga membuat penampilan pertama dan menerima sambutan hangat daripada penyokong Villa.
Pemain pinjaman Spurs, Mathys Tel dari Bayern Munich, pula berjaya mendapatkan gol pertamanya untuk Spurs dalam minit ke-91 melalui hantaran Dejan Kulusevski.
Spurs cuba memberi tekanan untuk menyamakan kedudukan, tetapi Villa berjaya bertahan untuk meraih kemenangan.
Pasukan yang kini menduduki tempat teratas Liga Perdana England (EPL), Liverpool pula disingkirkan daripada Piala FA apabila mengalami kekalahan 0-1 kepada pasukan yang menduduki tempat terakhir divisyen dua, Plymouth Argyle pada 9 Februari.
Pasukan EPL, Wolverhampton Wanderers, pula berjaya menewaskan Blackburn Rovers, 2-0.
Kekalahan ini bermakna Liga Eropah merupakan satu-satunya harapan Tottenham untuk mendapatkan piala musim ini.
Mereka telah disingkirkan daripada Piala Liga apabila dikalahkan 4-1 secara agregat oleh Liverpool pada 7 Februari, yang akan berdepan Newcastle United untuk peringkat akhir pertandingan tersebut.
Spurs yang dihantui masalah kecederaan kini menduduki tempat ke-14 EPL – enam kedudukan dan 10 mata di bawah Villa.
Pasukan bimbingan Ange Postecoglou sekali lagi membazirkan beberapa peluang dalam perlawanan menentang Villa.
Son Heung-min sepatutnya dapat menjaringkan gol dengan mudah dari jarak dekat hasil hantaran Mikey Moore, tetapi dia hanya berjaya menendang terus ke penjaga gawang Emi Martinez.
Prestasi Spurs meningkat pada separuh masa kedua, apabila pemain pertahanan mereka, Kevin Danso, mempunyai peluang emas untuk menjaringkan gol tetapi percubaannya juga terlepas sasaran.
Kali terakhir Villa ke pusingan kelima Piala FA adalah pada 2014-15 apabila mereka mara ke peringkat akhir sebelum dikalahkan 4-0 oleh Arsenal. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg