Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Jaguh muda Muay Thai M’sia kembali ke gelanggang ONE Championship

Apr 08, 2024 | 05:31 AM



KUALA LUMPUR: Selepas beberapa bulan tidak bertarung, juara Muay Thai asal Malaysia, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, dijadual masuk semula ke gelanggang ONE Championship.


Pemuda berusia 18 tahun itu yang juga dikenali dengan panggilan Jojo, akan berentap dengan juara Muay Thai WMF lima kali asal Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat, dalam pertandingan, ONE 167: Stamp vs Zamboanga pada 7 Jun di Impact Arena, Bangkok.


Pertarungan terakhir Johan sebelum ini adalah pada 8 Disember 2023, di mana beliau menewaskan juara WBC, Edgar Tabares dari Mexico, dengan kemenangan knock-out (KO) dalam tempoh hanya 36 saat di Bangkok.


Menyusuli pertarungan itu, Johan telah mengetepikan komitmennya dalam ONE Championship untuk menumpukan perhatian kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru berakhir pada Mac.

Bintang muda itu, yang mewakili Rentap Muay Thai Gym, berkobar-kobar untuk kembali ke gelanggang dan telah melahirkan keyakinannya untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam ONE Championship.

Namun beliau menekankan bahawa pertarungan akan datang itu dijangka yang paling mencabar buatnya dalam ONE Championship berdasarkan pengalaman dan reputasi lawannya.

“Ini akan menjadi pertarungan paling mencabar sejak saya sertai ONE Championship.

“Nguyen memiliki pengalaman luas dalam ONE Championship dan sudah lawan nama-nama besar selain ada rekod yang baik.

“Kelincahan dan tekniknya luar biasa. Namun dengan latihan dan persiapan rapi, saya percaya yang saya boleh menang pertarungan ini,” kata Johan semasa satu temu ramah dengan Berita Harian Malaysia (BHM).


Seperti Johan, pertarungan kali ini juga akan menjadi persaingan pertama buat Duy Nhat yang berusia 35 tahun selepas kali terakhir beliau turun ke gelanggang pada 8 Disember.

Ketika itu, beliau – yang kembali ke ONE Championship selepas empat tahun – terpaksa akur tewas di tangan Denis Puric dari Bosnia and Herzegovina secara KO dalam pusingan kedua.

Menurut Johan, meskipun beliau ‘bercuti’ daripada pertarungan, namun program latihannya tetap berjalan seperti biasa sepanjang tempoh itu di bawah kendalian jurulatihnya dari Thailand, Addy Sipangyak.

“Selepas pertarungan terakhir saya, latihan berjalan seperti biasa, saya hanya cuti seminggu saja tetapi selepas itu sudah kembali berlatih.

“Sebab itu, saya percaya dari segi persiapan tiada masalah untuk saya kembali bertarung pada Jun nanti.

“Cuma, pada bulan puasa ini, waktu latihan terpaksa berubah... saya berlatih pada sebelah malam selepas solat tarawih dan intensiti latihan pun kita kurangkan.

“Namun, selepas bulan puasa ini, intensiti latihan akan kembali ditingkatkan untuk saya buat persiapan bagi menghadapi pertarungan itu nanti,” katanya.

Pada Oktober 2023, Johan menempa sejarah apabila menjadi atlet tempur termuda memperoleh kontrak bernilai AS$100,000 ($134,812) dengan ONE Championship.

Dengan rekod kemenangan 5-0 termasuk empat menerusi KO sepanjang saingan musim lalu, Johan turut diangkat sebagai Bintang Muda Paling Menyerlah 2023 oleh ONE Championship.

Menurut laporan BHM sebelum ini, Johan mula menceburi bidang Muay Thai hasil dorongan kedua ibu bapanya.


Menurut beliau, ibunya, Jennana Johnson, dan bapanya, Zulfikar Ghazali, sememangnya sudah membabitkan diri dalam Muay Thai sebelum itu.

“Sejujurnya sebelum saya sertai Muay Thai, badan saya gemuk, hanya duduk di rumah bermain telefon dan belajar. Memang tidak bersukan, ada cuba bermain bola sepak, badminton dan sofbol tetapi memang tak minat.

“Namun, apabila diberi galakkan oleh ibu bapa saya untuk cuba Muay Thai, saya pun buat keputusan untuk cuba,” katanya.

Johan, anak kedua daripada keluarga empat beradik, dilahirkan di Putrajaya pada 14 November 2006.

Beliau mempunyai darah kacukan – bapanya orang Malaysia manakala ibunya kelahiran Amerika Syarikat.

Adik-beradiknya yang lain ialah abang, Elias Ghazali Zulfikar; Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar (adik lelaki) dan Emylia (adik perempuan) turut membabitkan diri secara serius dalam Muay Thai.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >