NEWCASTLE: Seandainya pengurus Newcastle United, Matthias Jaissle masih tidak pasti apa yang difikirkan penyokong pasukannya tentang persembahan terbaharu mereka yang penuh kesilapan, beliau pasti mengetahuinya sebaik sahaja wisel penamat ditiup.

Ia merupakan kekalahan kedua kepada Everton dalam tempoh seminggu.

Walaupun pasukan Jaissle tampil mengecewakan sekali lagi, Toon Army (penyokong Newcastle) terus menyokong pasukan itu dari awal hingga akhir, sebelum sorakan ejekan bergema di seluruh St James’ Park pada wisel penamat.

Rasa kecewa dan marah dari tempat duduk penonton itu timbul selepas kekalahan 1-0 yang turut menyaksikan kesilapan memalukan penjaga gol Lukas Hornicek, kad merah buat pemain simpanan, Jacob Ramsey dan satu lagi persembahan serangan yang hambar.

“Amat mengecewakan, amat memeranjatkan,” kata Jaissle selepas kekalahan keempat dalam enam perlawanan Liga Perdana England (EPL).

“Selepas persembahan seperti itu, saya boleh memahami reaksi penyokong. Itulah hakikatnya dan saya bertanggungjawab ke atasnya.”

“Kami perlu terus berusaha memperbaiki banyak perkara.”

Perlawanan terakhir Newcastle sebelum rehat antarabangsa pada November ialah di tempat lawan menentang Fulham pada 7 November, sebelum berdepan Arsenal (di padang sendiri) dan Brighton (di padang lawan) apabila Liga Perdana disambung semula lewat November.

“Ini bukan kali pertama saya berada dalam situasi ini sebagai jurulatih,” tambah Jaissle, yang pasukannya disingkirkan daripada Piala Carabao oleh Everton pada 29 Oktober.

“Satu-satunya jalan ialah bersatu padu dan menunjukkan perpaduan.”

Adakah jurulatih berbangsa Jerman itu, yang menjadi jurulatih kedua termuda Liga Perdana pada musim panas lalu, akan menemui penyelesaian untuk memulihkan prestasi Newcastle, ketika kesabaran penyokong mula menipis?

Tiada pasukan Liga Perdana yang tewas lebih banyak perlawanan di padang sendiri pada 2026 berbanding Newcastle, dan mereka kini tewas dalam 16 daripada 18 perlawanan liga terakhir apabila menerima gol dahulu.

Magpies (nama samaran Newcastle) terus gagal mengekalkan rekod tanpa bolos dalam 14 perlawanan liga di padang sendiri, sekali gus mencatat rekod terburuk dalam sejarah kelab itu. 

Semua ini jelas menunjukkan situasi yang semakin membimbangkan, sedangkan Jaissle baru sahaja tiga bulan memulakan kontrak selama empat tahun. 

“Saya sedikit bimbang tentang Newcastle,” kata bekas pemain pertahanan Liverpool dan England, Jamie Carragher, kepada Sky Sports.

“Mereka mempunyai jurulatih muda dan pemain muda. Anda sentiasa akan mempersoalkan jurulatih apabila pasukan tidak menang.”

“Saya rasa ini akan menjadi musim yang sukar. Di padang sendiri, khususnya, ia terasa hambar dan membosankan, dan saya tidak pernah menjangkakan untuk berkata begitu tentang Newcastle di bawah Jaissle.”

Newcastle kini berada dalam kedudukan bawahan carta liga perdana, dengan mengumpul hanya 11 mata selepas sembilan perlawanan.

Tempoh peralihan memang dijangka selepas pemergian Eddie Howe, yang mengetuai pasukan itu selama lima tahun, dan ketibaan Jaissle yang berusia 38 tahun, selepas berjaya di Arab Saudi dan Austria.

Selain itu, Newcastle kehilangan beberapa pemain utama pada musim panas termasuk Anthony Gordon, Sandro Tonali dan Bruno Guimaraes.

Jaissle turut kecewa apabila penjaga golnya, Hornicek, gagal menyelamatkan rembatan yang sepatutnya mudah ditangkap pada 2 November.

Bola itu terlepas di bawah badannya, sekali gus membolehkan Thierno Barry menjaringkan gol kemenangan.

Jurulatih Newcastle itu mendakwa gol kemenangan Barry sepatutnya dibatalkan kerana kesalahan terhadap Fabian Schar semasa serangan, tetapi beliau mengakui pemainnya bergelut untuk menunjukkan keberanian yang diperlukan bagi kembali ke dalam perlawanan.

“Saya tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil. Malangnya kami tidak dapat menampilkan persembahan sepanjang 90 minit. Itu sesuatu yang mengecewakan dan menghampakan,” katanya.

Jaissle mengakui Newcastle kekurangan keyakinan di tengah persembahan buruk mereka. - Agensi berita.