LEEDS (England): Leeds membelasah Newcastle 4-1 pada 14 September untuk naik ke tangga ketiga carta Liga Perdana England (EPL), sekali gus menjadi kekalahan pahit pertama bagi pengurus Newcastle, Matthias Jaissle.

Gol sendiri daripada pemain Newcastle, Lewis Miley, membuka tirai jaringan sebelum pemain Leeds, Jayden Bogle, Dominic Calvert-Lewin dan Noah Okafor melengkapkan kemenangan bergaya di Elland Road, Leeds.

Newcastle yang turut dikenali sebagai ‘The Magpies’ telah memulakan permainan dengan baik di bawah bimbingan Jaissle.

Ini meskipun kelab berkenaan berdepan pergolakan akibat kehilangan bekas pengurus, Eddie Howe, serta pemain utama seperti Anthony Gordon, Bruno Guimaraes dan Sandro Tonali pada tempoh pemindahan luar musim.

Meskipun disokong kekuatan kewangan dana kekayaan negara Arab Saudi, Newcastle memilih untuk menyasarkan bintang muda bagi mengisi kekosongan tersebut, sebelum akhirnya tewas kepada Leeds yang lebih berpengalaman. 

“Sudah jelas dari awal dan saya telah katakan berkali-kali bahawa kami akan menghadapi pasang surut serta cabaran sepanjang perjalanan ini,” kata Jaissle.

“Kami telah menghadapi cabaran itu dan ia memang sukar, amat sukar sekali.”

Malam pahit buat pasukan pelawat itu bermula seawal 20 minit pertama apabila pemain tengah, Nico Gonzalez, terpaksa digantikan dengan Sean Steur akibat kecederaan pada kepala (konkusi).

Keadaan itu menyaksikan pemain muda berusia 18 tahun, Steur, dan Miley, 20 tahun, digandingkan di bahagian tengah Newcastle. 

Malangnya, Miley menjadi pemain terakhir yang menyentuh bola tersebut selepas rembatan pemain Leeds, Ao Tanaka, terpesong dua kali sebelum bola melambung masuk ke gawang, sekali gus menyebabkan gol sendiri.

Pasukan pelawat gagal bangkit apabila Leeds menggandakan kelebihan mereka menerusi jaringan Bogle hanya dua minit kemudian.

Penyerang Leeds, Calvert-Lewin, melompat tinggi untuk menyambut hantaran lintang James Justin, namun tandukannya terkena Bogle sebelum menerjah sudut bawah gawang. 

Justeru, gol tersebut direkodkan di bawah nama pemain pertahanan kanan berkenaan.

Pemilik jersi nombor sembilan Leeds itu tidak perlu menunggu lama untuk memastikan namanya tercatat sebagai penjaring bagi perlawanan liga kelima berturut-turut di Elland Road.

Calvert-Lewin merempuh laluan melepasi pemain pertahanan Newcastle, Sven Botman, sebelum menolak bola di luar kawalan penjaga gol Newcastle, Lukas Hornicek.

Anton Stach sepatutnya menambah gol keempat pada awal separuh masa kedua apabila beliau menyambar hantaran lemah Hornicek dari kawasan penalti, namun percubaannya itu tersasar sedikit dari gawang.

Okafor kemudian menambah gol bagi Leeds kepada 4-0 pada minit ke-59 apabila melepaskan rembatan terus dari luar kotak penalti selepas pemain pertahanan Newcastle gagal mengeluarkan bola lontaran jauh.

“(Permainan ini merupakan) permulaan yang sempurna setakat ini dengan lapan mata, persembahan yang amat hebat,” ulas pengurus Leeds, Daniel Farke.

“Tenaga, mutu dan struktur yang baik (ditonjolkan) sama ada ketika menguasai atau tanpa bola,” tambahnya.

Pemain sayap, Bazoumana Toure, menjaringkan gol sagu hati buat Newcastle pada masa kecederaan untuk merapatkan jurang kekalahan mereka, namun Leeds telah pun mencatat kemenangan selesa.

Kemenangan itu meletakkan skuad kendalian Farke pada kedudukan lapan mata daripada empat perlawanan pembukaan, di belakang juara bertahan, Arsenal dan Manchester City.

Newcastle kekal dengan lima mata namun merosot ke tangga ke-12 disebabkan perbezaan gol yang negatif. – AFP.