Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Jangan yakin sangat dapat kalahkan United

Mar 17, 2024 | 05:30 AM



Alamak. Liverpool datang lagi ke Old Trafford Ahad ini. Macam mana eh? Apakah Manchester United akan kalah teruk lagi?


Bagi sesetengah peminat bola sepak England, khususnya Liverpool, mereka melihat United sekarang ini sebagai pasukan belasahan, yang tidak lagi sekuat dulu.

Tidak seperti di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson, pengurus paling berjaya dalam bola sepak England - dari segi memenangi jumlah kejuaraan liga. Beliau berjaya mengubah nasib United menjadi salah satu pasukan gergasi di negara itu, malah di Eropah.


Tetapi kita tak usah cakap pasal sejarahlah... penat... banyak sangat piala telah dimenangi United. Kiralah sendiri.


Namun, perlawanan peringkat suku akhir Piala FA Emirates (dijadual pada 11.30 malam) penting bagi United.

Dengan kelayakan Liga Juara-Juara kelihatan di luar jangkauan, United perlu menyelamatkan musim mereka dengan memenangi Piala FA.

Seteru yang bakal bertandang ke Teater Impian (Theatre of Dreams) kebetulan musuh No 1, Liverpool, yang kini berada pada prestasi terbaik mereka.

Yalah, United pernah dibedal Liverpool pada 2021 dan 2023 (tak perlu diingatkan jaringan golnya, memang pahit dikenang), tetapi jika United menang, walau dengan satu gol, akan memberi impak bermakna.


Pertama, United boleh mendabik dada menjinakkan musuh ketatnya; kedua mengembalikan imej mereka di depan penyokong sendiri; ketiga, mara ke separuh akhir dan mencerahkan peluang menjulang Piala FA.

Tetapi... sebagai pemerhati yang mengikuti perkembangan terkini bola sepak England, saya rasa peminat United perlu realistik letakkan jangkaan.

Memang dari segi sejarah, United antara pasukan terunggul dalam Piala FA. Ia telah menjulangnya sebanyak 12 kali - hanya Arsenal mencatat rekod lebih baik dengan 14 kemenangan. United, yang juga finalis tahun lalu, telah muncul dalam perlawanan akhir sebanyak 21 kali.


Tidak dinafikan Liverpool lebih hebat dari segi prestasi dan keyakinan, baik dalam kalangan pemain secara individu mahupun pasukan. Tetapi sebenarnya, barisan pemain United tidak kurang hebat.

Dengan penyerang muda berbakat Rasmus Hojlund; dan bek kanan yang boleh diharap, Aaron Wan-Bissaka, dijangka dapat beraksi semula selepas pulih daripada kecederaan, United cukup bintang untuk menyaingi Liverpool.

Mereka juga ada Marcus Rashford, Alejandro Garnacho, dan Antony (selain Hojlund) di barisan depan; kapten Bruno Fernandes, Casemiro, Kobbie Mainoo dan Scott McTominay (mungkin juga Mason Mount, jika beliau disahkan pulih) di midfield; dan Raphael Varane, Victor Lindelof, Sofyan Amrabat, Diogo Dalot dan Bissaka membentengi kubu.

Yang perlu ditekankan adalah bermain konsisten dan yakin akan kemampuan sendiri. Ini dua perkara pokok yang menyumbang kepada permainan di bawah jangkaan United.

Buat masa ini, pada hemat saya, sebilangan besar pemain hanya mencukupkan korum dalam kesebelasan utama.

Ramai pemain United kini kurang dahagakan kemenangan. Semangat juang mereka juga mudah pudar. Lepas mendahului satu atau dua gol, mereka kemudian memilih bertahan.

Lihat ketika menentang Manchester City dua perlawanan lalu; mereka membuka jaringan dengan rembatan cantik Rashford, tetapi akhirnya kecundang 1-3.


Atau lebih buruk, selepas ketinggalan, mereka hilang semangat untuk kembali berjuang, contohnya dalam perlawanan menentang Liverpool apabila gawang mereka dibolosi berkali-kali.


Sikap begini bukan tradisi ‘Red Devils’ (julukan United), yang tidak mudah mengalah, yang sentiasa mengancam ketika menyerang, dan yang bermain bermati-matian sehingga wisel penamat ditiupkan.


Jika pemain United menyakini kemampuan mereka dan mengasak menyekat setiap gerakan Liverpool, mereka boleh menang.


Memang Liverpool dari dulu bermain dengan cantik, tetapi United merupakan pasukan yang suka mengasak hingga mampu menggagalkan langkah mereka. Dan, strategi ini telah terbukti.


Pemain United perlu bermain memikul tugas sepanjang 90 minit perlawanan dan sehingga wisel penamat. Tidak boleh sekadar mempamerkan sekilas kecemerlangan.


Pemain United juga tidak boleh sekadar mempamerkan sekilas kecemerlangan. Fernandes perlu terus menyuntik semangat rakan-rakannya. Beliau perlu terus bekerja keras memenangi bola di tengah padang, mengumpan dan membantu menjaringkan gol.

Jika Liverpool ada Mohamed Salah, United ada Garnacho yang turut mampu mengoyak-ngoyakkan benteng lawan. Rashford juga perlu berani menggempur kubu lawan.

Begitu juga Casemiro dan Antony, yang perlu meningkatkan tahap permainan untuk menambah sengatan. Mereka ini bertaraf bintang dan pernah bermain pada tahap tertinggi ketika bersama Real Madrid dan Ajax.

Jadi apa yang perlu Erik ten Hag, pengurus United, lakukan?


Anda mempunyai keistimewaan tersendiri ketika memimpin Ajax memenangi lima kejuaraan di Belanda - tiga kejuaraan liga Eredivisie dan dua Piala KNVB.


Itu di Belanda. Di England mungkin berbeza. Ferguson sudah menunjukkan caranya. Ikut sahaja dan ubah suai di sini sana. Bak kata orang lama, jangan ubah resipi yang sudah terbukti cukup lazat, sedap dan digemari.


Perlawanan ini juga boleh menentukan nasib pengurus Erik ten Hag. Jadi tahulah apa yang perlu anda lakukan kalau anda masih mahu berada di Old Trafford.

Oh ya, memang ten Hag pengurus kelapan di Old Trafford, yang bertukar ganti dalam usaha United mengembalikan semula zaman kegemilangannya sejak Ferguson bersara pada 2012.

Perlu diingat, Liverpool turut menukar ramai pengurus sejak kali terakhir Kenny Dalglish memimpin mereka untuk memenangi kejuaraan Divisyen 1 England (nama kejuaraan liga ketika itu) pada 1990.

Selepas itu, Dalglish digantikan Ronnie Moran, Graeme Souness, Roy Evans, Gerard Houllier, Rafa Benitez, Roy Hodgson, Kenny Dalglish dan Brendan Rodgers.

Selepas penantian pahit selama 30 tahun, barulah Liverpool dapat menjulang semula Liga Perdana England pada 2020, di bawah pengurus kesembilan selepas Dalglish, iaitu Jurgen Klopp.

Jadi brader, United baru menunggu 14 tahun. Ada banyak masa lagi untuk bermimpi - kan mimpi nak menang tu syok? Anda pernah merasainya kan?

Mungkin nasib pengurus kesembilan United akan berubah, siapa tahu. Tidak salah pun bermimpi, kan nama Old Trafford pun Teater Impian?


Ada orang begitu yakin Liverpool pasti menang. Jawapan saya, keputusan hanya akan diketahui selepas wisel penamat ditiupkan, tak kira sama ada di padang sendiri atau padang lawan. Di Old Trafford atau di Anfield.

Jika Liverpool menang, tahniah. Tetapi ingat juga, United-lah pasukan yang mengetepikan Liverpool dari takhta.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >