Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jannik Sinner hampir langkah ke peringkat separuh akhir ATP

Nov 13, 2024 | 2:10 PM
Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner meraikan kejayaannya selepas menangi perlawanan menentang pemain Amerika Syarikat, Taylor Fritz pada kejohanan tenis Final ATP di Turin pada 12 November.
Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner meraikan kejayaannya selepas menangi perlawanan menentang pemain Amerika Syarikat, Taylor Fritz pada kejohanan tenis Final ATP di Turin pada 12 November. - Foto AFP

TURIN (Italy): Pemain tenis nombor satu dunia, Jannik Sinner, menunjukkan prestasi cemerlang di penghujung setiap set bagi menewaskan Taylor Fritz 6-4, 6-4 pada 12 November, sekaligus semakin hampir melayakkan diri ke peringkat separuh akhir kejohanan Persatuan Pemain Tenis Profesional (ATP). 

Pada September, Sinner berjaya menewaskan Fritz di perlawanan akhir Terbuka AS dalam dua set berturut-turut, meskipun berhadapan sokongan padu penonton pihak lawan. 

Dalam pertembungan mereka kali ini, Sinner mendapat sokongan hebat daripada penonton tuan rumah di Turin, Italy, lapor AFP.

Pemain nombor lima dunia, Fritz, memberi tentangan pada servis Sinner di awal set pertama.

Pemain Amerika itu berpeluang meraih break point pertama dalam perlawanan pada permainan ketujuh yang berlangsung selama 14 minit, namun gagal memanfaatkannya.

Sinner segera merampas peluang itu, namun beliau juga mensia-siakan tiga break point dalam permainan seterusnya sebelum akhirnya menundukkan Fritz untuk memenangi set pertama.

Dalam set kedua, Fritz melakukan double fault, iaitu kegagalan untuk melakukan servis dua kali berturut-turut selepas Sinner berjaya meraih mata perlawanan pertama. 

Kemenangan itu meletakkan Sinner di kedudukan pertama dalam kumpulan, dengan baki satu perlawanan lagi menentang Daniil Medvedev pada 14 November, di mana pemenangnya bakal mara ke separuh akhir.

Fritz dalam kumpulan lain pula akan berhadapan dengan Alex de Minaur yang tewas dalam kededua perlawanan sebelum ini.

Dalam perlawanan 12 November, Medvedev dari Russia berjaya menewaskan de Minaur dari Australia, 6-2, 6-4, dan sekaligus mencerahkan harapan untuk layak ke peringkat seterusnya.

Medvedev, yang menjuarai kejohanan ATP pada 2020, tidak menghadapi sebarang break point dan berjaya mengatasi servis De Minaur sebanyak tiga kali.

Kededua pemain cuba pertahankan servis mereka pada permulaan permainan, tetapi Medvedev berjaya mengatasi servis de Minaur untuk mendahului 2-1.

Bekas juara itu menghasilkan 16 pukulan kemenangan pada set pertama dan hanya hilang dua mata pada set kedua.

Satu pecahan servis, atau break pada permainan kesembilan set kedua terbukti menjadi penentu, dan perlawanan itu diakhiri dengan kemenangan Medvedev. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg