TURIN (Italy): Pemain nombor satu dunia dan kegemaran tuan rumah, Italy, Jannik Sinner, memenangi perlawanan pertama dalam pertandingan akhir Persatuan Pemain Tenis Profesional (ATP), dengan mengalahkan pemain Australia, Alex de Minaur, 6-3, 6-4 pada 10 November.
Sinner, naib juara kepada Novak Djokovic dalam kejohanan berprestij itu pada 2023, ketinggalan pada awal set pertama tetapi pantas membalas untuk mendominasi perlawanan itu.
Pemain Italy itu, yang memenangi kejuaraan Australia dan Terbuka Amerika Syarikat 2024, melengkapkan kemenangan itu dengan satu ace.
Sinner, 23 tahun, kini telah mengalahkan De Minaur, 25 tahun, sebanyak lapan kali.
Sinner tidak bermain dalam perlawanan kompetitif selama empat minggu sejak merangkul kejuaraan di Shanghai, iaitu kejuaraan ketujuh musim ini.
Justeru, beliau terkial-kial sedikit pada awal perlawanan apabila melakukan servis pada set pembukaan perlawanan menentang De Minaur.
Namun, Sinner berjaya kembali lebih gagah sedang penyokong di stadium Inalpi Arena, yang mampu menampung 13,000 orang, memberi semangat kepadanya.
“Memandangkan saya tidak bermain selama empat minggu, saya sangat gembira.
“Saya memulakan perlawanan dengan beberapa kesilapan… tetapi saya bertahan secara mental kerana saya tahu masa saya akan tiba.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan itu dan saya harap ia akan memberi saya keyakinan,” kata Sinner di sisi gelanggang.
Pada Mac 2024, Sinner diuji positif sebanyak dua kali bagi steroid anabolik tetapi tidak digantung kerana Agensi Keutuhan Tenis Antarabangsa (Itia) menentukan steroid yang diharamkan itu memasuki sistemnya secara tidak sengaja melalui urutan yang diberikan ahli fisioterapinya.
Agensi Antidadah Dunia (Wada) telah mengeluarkan keputusan “tiada kesalahan atau kecuaian” kepada Mahkamah Arbitrasi Sukan (CAS).
Terdahulu dalam Kumpulan Ilie Nastase, pemain Amerika Syarikat, Taylor Fritz, menewaskan pemain Russia, Daniil Medvedev, 6-4, 6-3.
Berasa jengkel, Medvedev, juara ATP 2020, menerima penalti mata selepas beliau merosakkan mikrofon di tepi gelanggang.
Mikrofon itu rosak akibat terkena raket yang dibaling Medvedev. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg