BG Tampines Rovers menyekat hajat Lion City Sailors untuk memulakan kempen 2025/26 dengan kemenangan selepas ia menewaskan juara bertahan liga itu 4-1 dalam perlawanan Perisai Masyarakat di Stadium Jurong East pada 16 Ogos.
Kemenangan itu sekaligus memberi isyarat awal bahawa walaupun pasukan bimbingan Akbar Nawas kehilangan beberapa pemain utama menjelang musim ini, pemain yang dibawa masuk berkualiti dan berupa ayam tambatan yang menjadikan mereka antara pesaing utama bagi kejuaraan Liga Perdana Singapura (SPL).
Keinginan pasukan Sailors untuk menang perlawanan jelas dilihat sejak wisel permulaan ditiup, dengan formasi berani yang menyusun barisan pertahan Sailors lebih dekat dengan tengah padang.
Namun, pendekatan tekanan tinggi inilah yang membawa padah kepada Sailors.
Pemain pertahanan Sailors, Lionel Tan, hilangkan bola di bahagian tengah padang, dan pemain tengah Tampines, Kohya Kazama, tidak berlengah untuk menghantarkan bola hebat yang temui pemain sayap baru Trent Anthony Buhagiar.
Pemain import dari Malta itu memanfaatkan peluang tersebut untuk meletakkan Tampines di hadapan dengan perlawanan berusia dua minit.
Buhagiar kekal menjadi duri kepada benteng Sailors sepanjang perlawanan.
Satu gerakan hebat sekali lagi diumpan kemas kepada Buhagiar, tetapi hantaran silangnya berjaya dihalang oleh tonggak pertahanan baru Sailors, pemain veteran Safuwan Baharudin.
Sailors cuba membalas dan mencari jalan untuk temui goal penyamaan, tetapi Tampines pula yang hampir menggandakan kelebihan mereka pada separuh masa pertama.
Hantaran silang Tampines temui pemain pertahanan, Irfan Najeeb, yang berjaya melepaskan rembatan ke arah gawang Sailors, tetapi percubaan beliau berjaya dihalang oleh penjaga gawang baru Sailors, Ivan Susak.
Peluang keemasan akhirnya jatuh kepada Sailors pada minit ke-36 apabila hantaran silang temui pemain sayap Sailors, Bart Ramselaar, tetapi rembatan beliau berjaya dihalang oleh barisan pertahanan Tampines.
Namun, Tampines tidak sekadar duduk diam dan terus mencari gol untuk menggandakan kelebihan mereka, dan akhirnya ia membuah hasil pada minit ke-44.
Hantaran jauh hebat pemain tengah Tampines, Seiga Sumi, temui Buhagiar sekali lagi, yang mengawalnya dengan hebat, dan dengan tenang menyumbat masuk gol yang menggandakan kelebihan Tampines 2-0.
Sailors cuba merapatkan jurang dengan percubaan Ramselaar dari luar kotak penalti pula, tetapi kali ini percubaan beliau diselamatkan oleh penjaga gawang Tampines, Nalawich Intacharoen, dan separuh masa kedua berakhir dengan kelebihan dua gol untuk Tampines.
Separuh kedua bermula, dan pasukan bimbingan Alexander Rankovic terdesak untuk mencari gol dan merapatkan jurang perlawanan.
Pada minit ke-47, Maxime Lestienne memintas hantaran Rovers di luar kotak penalti, dan melepas rembatan tetapi rembatan itu mudah ditangkap oleh Intacharoen.
Cabaran Sailors untuk bangkit menjadi lebih sukar apabila Kazama menjaringkan sepakan percuma untuk menjaringkan gol ketiga Tampines yang kini mempunyai kelebihan tiga gol.
Sailors kekalkan penguasaan bola mereka dan menghasilkan beberapa peluang, tetapi tidak temui penyudah yang diperlukan.
Juara bertahan Liga Perdana Singapura (SPL) itu melancarkan gerakan hebat pada minit ke-73, tetapi percubaan bek kiri Sailors, Diogo Costa, tidak temui sasaran.
Hanya beberapa saat kemudian, hantaran silang temui penyerang baru Sailors, Anderson Lopes, tetapi percubaan beliau terlepas sasaran sekali lagi.
Rasa marah pemain Sailors jelas dilihat apabila Costa dilayangkan kad kuning setelah mengasari pemain sayap, Joel Chew.
Sailors akhirnya berjaya membolosi gawang Tampines pada minit ke-87 dengan jaringan Lennart Thy.
Namun, hanya lima minit kemudian, penyerang gantian Tampines , Hide Higashikwa, mengesahkan kemenangan pasukannya dengan menjaringkan gol dan menjadikan kedudukannya 4-1.
Sailors terpaksa menelan kekalahan ini dan berazam untuk bangkit apabila mereka menentang gergasi bola sepak Malaysia, Johor Darul Takzim di kandang lawan pada 21 Ogos.
Tampines pula akan menentang pasukan Filipina, Dynamic Herb Cebu pada 20 Ogos berbekal keyakinan baru.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg