Bekas bintang sensasi Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (NBA) – liga elit di Amerika Syarikat – Jeremy Lin, telah menetapkan matlamat peribadinya selama tempoh berada di Singapura bagi kejohanan Undangan Bakat Muda NBA yang akan berlangsung dari 22 hingga 28 Jun di Arena OCBC, The Kallang.

Beliau berharap dapat menyuntik semangat kepada belia di rantau ini untuk mencapai kejayaan lebih tinggi dalam kejohanan bola keranjang peringkat sekolah menengah yang menampilkan pasukan lelaki dan perempuan dari serata Asia-Pasifik.

Lin, yang merupakan pemain Amerika pertama berketurunan Cina/Taiwan yang beraksi di liga elit NBA, berkata dalam satu kenyataan media pada 15 April:

“Terdapat begitu ramai bakat muda di serata Asia-Pasifik, dan saya bangga menjadi sebahagian daripada acara yang memberi tumpuan kepada prospek terbaik di rantau ini.”

Bintang berusia 37 tahun itu pernah mencetuskan fenomena ‘Linsanity’ pada 2012 sewaktu menyarung jersi pasukan New York Knicks.

“Membantu membentuk generasi akan datang adalah satu perjuangan yang saya komited untuk laksanakan, dan saya harap perjalanan saya dapat mendorong bintang muda untuk memanfaatkan peluang yang ada, dan akhirnya menyumbang kepada perwakilan (pemain) Asia lebih besar di peringkat tertinggi sukan ini,” ujar Lin.

Lin, yang juga pernah menyarung jersi pasukan lain seperti Houston Rockets, Los Angeles Lakers dan Toronto Raptors – dan merangkul kejuaraan NBA pada 2019 – telah bersara daripada sukan bola keranjang profesional pada 2025 selepas beraksi di liga China dan Taiwan.

Sementara itu, pemenang tiga kali Anugerah Pemain Paling Berharga (MVP) Liga Bola Keranjang Wanita Kebangsaan (WNBA), Lauren Jackson, pula bakal menjadi tetamu istimewa di kejohanan yang diadakan di Singapura buat tahun kedua berturut-turut itu.

Pada edisi sulung 2025, Sekolah Tinggi Yongsan, dari Korea Selatan, dinobatkan sebagai juara kategori lelaki, manakala Sekolah Tinggi Senior Kyoto Seika Gakuen, dari Jepun, merangkul kejuaraan kategori perempuan.

Jackson, yang juga hadir pada acara 2025, berkata beliau telah menyaksikan sendiri betapa besarnya nilai pentas dan pengalaman tersebut kepada pemain muda.

Srikandi bola keranjang Australia berusia 44 tahun itu menambah, beliau tidak sabar untuk kembali dan membantu golongan belia meneruskan fasa pembangunan mereka.

Lebih ramai pemain serta bekas pemain NBA dijangka menyertai Lin dan Jackson bagi acara yang bakal menyaksikan 12 pasukan lelaki dan 12 pasukan perempuan berumur 18 tahun dan ke bawah, bersaing dalam format liga satu pusingan (round robin) sebelum mara ke fasa kalah mati.

Dalam pusingan awal, setiap pasukan perlu bermain antara satu sama lain, mengikut giliran yang ditetapkan penganjur.

Pasukan yang mengambil bahagian dalam acara itu akan dikenal pasti melalui kerjasama dengan persekutuan serta liga bola keranjang kebangsaan, selain melalui kejohanan kelayakan tempatan yang diadakan di Bangkok, Melbourne, Taipei dan Tokyo.

Sebagai bandar tuan rumah, Singapura akan diwakili oleh dua pasukan bagi setiap divisyen.

Pemain muda itu juga akan mengambil bahagian dalam sesi pembangunan kemahiran dan kegiatan di luar gelanggang.

Pemain yang menunjukkan prestasi peribadi terbaik pula berpeluang menyertai kem dan program pembangunan pada masa akan datang.

Dengan sokongan Majlis Sukan Singapura (SportSG), Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Yayasan Keluarga Karim, Undangan Bintang Muda NBA selama seminggu itu turut akan dimeriahkan dengan kegiatan melibatkan peminat seperti sesi temu mesra, klinik eksklusif, serta pengalaman interaktif.

“Membantu membentuk generasi akan datang adalah satu perjuangan yang saya komited untuk laksanakan, dan saya harap perjalanan saya dapat mendorong para bintang muda untuk memanfaatkan peluang yang ada, dan akhirnya menyumbang kepada perwakilan (pemain) Asia lebih besar di peringkat tertinggi sukan ini.”
Jeremy Lin, bekas jaguh bola keranjang yang pernah beraksi dalam Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (NBA).