MILAN: Jerman bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Italy 2-1 di San Siro dalam perlawanan pertama suku akhir Liga Negara-Negara pada 20 Mac.
Gol kemenangan ditanduk masuk Leon Goretzka 14 minit sebelum tamat perlawanan.
Perlawanan kedua akan berlangsung di Dortmund pada 23 Mac, dan pemenang akan menjadi tuan rumah bagi separuh akhir. Mereka akan bertemu sama ada Denmark atau Portugal, serta perlawanan akhir pada Jun.
Jerman memulakan permainan dengan intensiti tinggi, manakala Italy cuba melakukan serangan balas.
Pasukan tuan rumah membuka jaringan pada minit kesembilan menerusi peluang pertama mereka.
Nicolo Barella menghantar bola ke dalam kotak penalti kepada Matteo Politano. Beliau kemudian menghantar bola ke belakang, ke arah Moise Kean, namun ia sampai ke kaki Sandro Tonali yang melepaskan rembatan ke penjuru gawang.
Jerman terus menguasai bola dengan Goretzka menanduk bola tinggi melepasi gawang serta melakukan rembatan tepat ke arah penjaga gol Gianluigi Donnarumma.
Penjaga gol pelawat, Oliver Baumann, sibuk dengan menepis percubaan daripada Tonali dan Kean.
Nadiem Amiri hampir menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma yang melepasi palang sebelum rehat. Italy terus mengekalkan kelebihan mereka sehingga separuh masa pertama berakhir.
Jerman akhirnya menyamakan kedudukan empat minit selepas babak kedua bermula.
Joshua Kimmich melantun bola ke dalam kotak penalti dan pemain gantian, Tim Kleindienst, yang tidak dikawal, menanduk bola melepasi Donnarumma, dengan sentuhan pertamanya.
Berkongsi kepada agensi berita RAI Sport, pengurus Italy, Luciano Spalletti, berkata:
“Terdapat beberapa situasi sepanjang perlawanan yang mengakibatkan kami membayar harga yang mahal.
“Ia bermula dengan hantaran dari bahagian tengah, mereka menemui pemain yang tidak dikawal dalam kotak penalti.”
Tonali kemudian melakukan hantaran berbahaya melalui tumitnya kepada Kean, tetapi percubaannya melambung tinggi, manakala Giacomo Raspadori berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol tetapi Baumann berjaya menyelamatkannya dengan kakinya.
Sementara itu, Goretzka menanduk satu lagi hantaran silang daripada Kimmich namun tersasar.
Gol kemenangan berlaku daripada sepakan sudut Kimmich yang kelihatan terus menuju ke dalam jaring, namun Goretzka sempat menyentuh bola sedikit melepasi Donnarumma.
Pengurus Jerman, Julian Nagelsmann, memuji pemain tengah itu dan berkata:
“Saya sangat gembira untuknya (Goretzka). Saya rasa beliau bermain dengan cemerlang, terutama pada separuh masa kedua, baik dari segi pertahanan mahupun kehadirannya dalam kotak penalti.
“Beliau mempengaruhi permainan dalam kedua-dua aspek. Ia adalah persembahan bertaraf tinggi.”
Italy terus mengasak, dengan Barella melepaskan percubaan namun tersasar hasil satu sepakan sudut, dan Baumann sekali lagi bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan Daniel Maldini.
Jerman berjaya bertahan untuk membawa kelebihan satu gol ke Dortmund, menandakan kemenangan pertama ke atas Italy di tempat lawan sejak 1986.
Italy sudah pasti berharap dapat mengulangi kenangan manis 2006 di Westfalenstadion, apabila mereka menewaskan Jerman dalam separuh akhir Piala Dunia sebelum akhirnya menjulang trofi kejuaraan.
Di perlawanan lain, Sepanyol meraih gol penyamaan pada masa kecederaan untuk mengikat 10 pemain Belanda 2-2.
Ante Budimir dan Ivan Perisic membantu Croatia menewaskan Perancis 2-0, sementara penyerang Denmark, Rasmus Hojlund, masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol kemenangan 1-0 ke atas Portugal. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg