Jerman tolak gesaan supaya boikot Piala Dunia
BERLIN: Pemerintah Jerman pada 4 Februari menolak gesaan supaya memboikot pertandingan bola sepak Piala Dunia yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, selepas Presiden Amerika, Donald Trump, menarik balik ancamannya untuk mengambil alih Greenland.
Boikot kejohanan itu bukanlah “pendekatan yang tepat”, kata jurucakap pemerintah, Steffen Meyer, dalam satu sidang media di Berlin.
“Pertikaian politik harus diselesaikan di peringkat politik, dan sukan seharusnya kekal sebagai sukan,” katanya.
Piala Dunia 2026 dijadual berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai di Amerika, Canada dan Mexico.
Beberapa anggota politik Jerman sebelum ini mempersoalkan sama ada negara itu patut terus mengambil bahagian selepas Trump pada Januari lalu meningkatkan ancaman lamanya untuk mengilhakkan Greenland, sebuah wilayah autonomi milik sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Denmark.
Trump turut mengenakan sasaran tarif terhadap lapan negara Eropah, termasuk Jerman, kerana menentang hasratnya itu.
Namun, pemimpin Amerika itu kemudiannya menarik balik ancaman tarif berkenaan dan berikrar tidak akan mengambil pulau Artik itu secara paksa, selepas menyatakan beliau telah mencapai satu perjanjian “rangka kerja” dengan ketua Nato, Mark Rutte, bagi memastikan pengaruh Amerika yang lebih besar.
Pada kemuncak krisis itu, Berlin telah mengelak daripada mengambil pendirian jelas mengenai isu boikot, dengan hanya menyatakan bahawa keputusan tersebut terpulang kepada persatuan bola sepak negara itu.
Menteri Sukan Jerman, Christiane Schenderlein, turut berkata pada 4 Februari bahawa pemerintah negara itu telah memutuskan untuk tidak menyokong sebarang boikot Piala Dunia 2026.
“Sukan tidak seharusnya dieksploitasi dengan cara ini,” katanya kepada akhbar harian Sueddeutsche Zeitung. – AFP.

