Pasukan bola sepak negara akan mempunyai jersi baru semasa lawatan latihan mereka di Jepun dari 5 hingga 15 Oktober.
Jersi baru itu dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) di kedai Weston Corporation yang terletak di 313@somerset pada 27 September.
Beberapa pemain daripada kededua pasukan wanita dan lelaki Singapura, seperti Faris Ramli, Glenn Kweh, Ryhan Stewart, Farhanah Ruhaizat, Nurhidayu Naszri dan kapten pasukan kebangsaan wanita Singapura, Rosnani Azman, serta beberapa pemenang pertandingan Instagram #BeTheRoar turut hadir dalam acara itu.
The Lionesses (pasukan wanita) akan menyarungkan jersi kebangsaan semasa Kelayakan Kejohanan Wanita Asean 2025 yang akan berlangsung di Laos pada November.
“Kami akan menyarungnya dengan bangga di Laos dan kami harap dapat menghasilkan banyak detik-detik yang tidak boleh dilupakan dengan memakai jersi ini,” kata Rosnani, pemain pertahanan, The Lionesses.
Untuk mereka bentuk jersi kebangsaan baru itu bukanlah mudah.
Setiap keputusan perlu ada maknanya dan ini dapat dilihat melalui jersi yang akan dipakai apabila bermain di padang sendiri.
Warna merah yang dipilih melambangkan semangat kegigihan Singapura yang membakar.
Warna biru pula melambangkan identiti Singapura sebagai sebuah negara pulau kecil yang tanpa henti dalam usahanya untuk memberi impak global.
Bendera negara serta simbolnya – bulan sabit putih dan lima bintang putih – menghiasi leher baju, membangkitkan kebanggaan setiap pasukan kebangsaan semasa berbaris menyanyikan lagu kebangsaan ‘Majulah Singapura’.
Dua jenis warna biru yang dipilih mempamerkan intipati perairan sekitar Singapura sebagai peringatan tentang usaha berterusan mencapai kecemerlangan walaupun bertanding jauh dari tanah air.
“Jersi pasukan kebangsaan merupakan simbol kebanggaan dan identiti negara.
“Bukan sekadar untuk pemain bola sepak tetapi untuk sesiapa sahaja yang berkaitan dengan Singapura.
“Sudah menjadi perkara biasa untuk melihat orang kita memakai jersi Singapura di luar stadium.
“Anda lihat rakyat Singapura memakai jersi negara di luar negara di acara antarabangsa dan festival muzik.
“Dengan warna yang menarik, saya pasti kita akan melihat lebih banyak lagi orang memakai jersi Singapura,” kata Ryhan, pemain pertahanan.
Ini juga merupakan kempen pelancaran jersi Singapura pertama yang melibatkan kededua pemain dan peminat.
Alvin Tan, seorang peminat sukan, merupakan antara orang pertama memakai jersi baru Singapura pada Ogos apabila beliau dijemput ke acara penggambaran promosi.
Ini merupakan sebahagian usaha FAS mengeratkan hubungan dengan peminat Singapura, usaha yang telah menyaksikan Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan, Tsutomu Ogura, menjemput beberapa peminat untuk menonton sesi latihan pasukan Singapura di Hab Bola Sepak Kallang pada Oktober ini.
“Sukar untuk percaya bahawa saya dapat menyarung jersi sebelum pemain kita. Saya selalu rasa hebat dan bangga apabila saya memakai jersi Singapura. Ia adalah satu pengalaman yang menyeronokkan untuk menjadi sebahagian daripada kempen pelancaran kit baru,” kongsi Alvin.
Bagi mereka yang minat, mereka boleh membeli kededua jersi pasukan kebangsaan Singapura melalui kedai dalam talian FAS dan di semua cawangan Weston.
Buat julung-julung kalinya, saiz jersi golongan belia juga akan tersedia secara eksklusif di cawangan-cawangan Weston.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg