Pemain pasukan Singapura yang berpangkalan di Thailand seperti penyerang Ikhsan Fandi boleh menjadi antara mereka yang menambah kemeriahan dalam Piala Singapura apabila ia bermula pada Januari 2025.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Yazeen Buhari memberitahu The Straits Times pada 14 Jun bahawa mereka sedang berbincang dengan kelab Ikhsan, pasukan Liga 1 Thailand, BG Pathum, untuk mengambil bahagian dalam pertandingan piala itu bagi musim 2024 hingga 2025.
Yazeen berkata demikian selepas memorandum persefahaman (MOU) ditandatangani antara agensi kebangsaan Sport Singapore (SportSG), FAS dengan BG Sports, syarikat yang memiliki Pathum, di Hab Bola Sepak Kallang.
“Kali terakhir kami mempunyai pasukan senior Pathum dalam pertandingan adalah lebih 10 tahun lalu di Singapura,” katanya merujuk kepada Bangkok Glass, yang memenangi pertandingan itu sebagai pasukan jemputan pada 2010.
“Kini dengan MOU ini, ia merupakan sesuatu yang akan kami terokai, memandangkan Piala Singapura untuk musim domestik semasa akan berlaku awal tahun depan. Itu perbincangan yang telah kami mulakan, dan Pathum ingin sekali menjadi sebahagian daripadanya.”
Di bawah MOU itu, pemain bola sepak remaja Singapura akan mendapat peluang untuk berlatih dan bersaing di Thailand, manakala mereka yang menunjukkan potensicyang menjanjikan boleh berlatih bersama Pathum.
Perkongsian itu, sebahagian daripada projek nasional Unleash The Roar! (UTR), juga akan menyaksikan Pathum mengambil bahagian dalam pertandingan Singapura, termasuk Piala Lion City dan Piala Singapura.
Calon jurulatih Singapura akan mendapat peluang bekerjasama dengan Pathum, manakala skuad senior kebangsaan juga boleh mengakses kemudahan Pathum untuk mengadakan kem latihan.
Pengarah operasi antarabangsa Pathum, Philip Tan berkata mereka berbangga untuk bekerjasama dalam “perkongsian bermakna” ini.
Beliau menambah: “Selain daripada bekerjasama dalam bidang pembangunan belia dan jurulatih, kami sangat teruja untuk mengambil bahagian dalam pertandingan seperti Piala Singapura dan Piala Lion City dan mempamerkan jenama bola sepak kami.”
Majlis itu turut dihadiri Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, ketua eksekutif BG Sports Piyasak Bhumichitra dan ketua kumpulan pembangunan sukan SportSG, Marcus Tan.
Untuk memperingati pemeteraian itu, satu perlawanan persahabatan diadakan antara pasukan Bawah-16 Tahun Pathum dengan pasukan Bawah-16 Tahun Pusat Pembangunan Negara Singapura (NDC).
Ini bukan penglibatan pertama Pathum dalam bola sepak tempatan. Mereka telah menandatangani perjanjian tiga tahun dengan kelab Liga Perdana Singapura, Tampines Rovers pada September 2023.
Tiga pemain kebangsaan Singapura – Ikhsan dan Irfan Fandi, dan Ryhan Stewart – turut memainkan peranan apabila pasukan itu menduduki tempat keempat dalam Liga Thai musim 1 yang baru berakhir. Penampilan terakhir Ikhsan dan Irfan dalam pertandingan kelab domestik adalah bersama Young Lions pada 2018.
Pasukan remaja Pathum juga memenangi Piala Lion City pada September 2023, mengalahkan Singapura dalam final pertandingan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg