VIENNA: Dominic Thiem dari Austria, juara Terbuka Amerika Syarikat 2020, tumpas 6-7 (6-8), 2-6 kepada Luciano Darderi di Terbuka Vienna pada 22 Oktober.
Ia sekali gus menamatkan kerjaya di tempat kelahirannya selepas bergelut dengan kecederaan pergelangan tangan jangka panjang.
Awal 2024, Thiem mengumumkan persaraannya daripada tenis, melepaskan perjuangan yang sia-sia untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya pada 2021.
Pada petang 22 Oktober, pesaing beliau dari Italy, Darderi, 22 tahun, tidak kelihatan menguasai awal perlawanan dan menang set pertama dalam tie-break.
Tetapi pemain nombor ke-42 dunia itu memperolehi rentak apabila perlawanan berlanjutan, menewaskan Thiem 6-2 dalam set kedua.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua sepanjang tahun-tahun yang luar biasa... saya tentunya hanya sebahagian daripada semua ini, keseluruhan kerjaya,” kata Thiem kepada penonton yang bersorak selepas perlawanan.
“Terima kasih banyak kepada semua atas sokongan selama bertahun-tahun. Seluruh perjalanan itu sangat bermakna,” katanya kepada hampir 10,000 peminatnya yang meraikan beliau dengan berdiri diiringi tepukan gemuruh.
Thiem, bekas pemain nombor tiga dunia, kini berada di kedudukan ke-318 dan memerlukan peluang khas atau wild card untuk bermain di pertandingan Persatuan Pemain Tenis Profesional (ATP) lelaki 500 di Vienna.
Kerjaya pemain berusia 31 tahun itu merudum sejak kemuncaknya pada 2020 apabila beliau menewaskan pemain Jerman, Alexander Zverev, dalam final Terbuka Amerika.
Ketika itu beliau kelihatan siap mencabar pemain seperti Roger Federer, Novak Djokovic dan Rafael Nadal.
Malangnya, prestasinya kian merosot pada pertengahan 2021 apabila beliau mengalami masalah ligamen yang serius semasa bertanding di Mallorca, Sepanyol, dan terpaksa duduk di luar gelanggang pada tahun itu.
Beliau hanya bermain dua Slam pada 2022 dan kedudukannya jatuh ke luar 100 teratas buat kali pertama dalam lebih sedekad.
Menuju ke kejohanan ATP terakhir beliau pada 22 Oktober, Thiem, yang menjadi pro pada 2011, hanya menangi dua perlawanan utama sepanjang tahun.
Sepanjang kerjayanya, Thiem memenangi 17 gelaran kerjaya dan meraih lebih AS$30 juta ($40 juta).
Pada hujung minggu, pemain tenis semasa dan bekas pemain – termasuk Zverev, yang berdepan Thiem buat kali terakhir di gelanggang, dan Boris Becker – memberi penghormatan kepada pemain Austria itu dalam acara perpisahan yang dihadiri ribuan peminat di Stadthalle Vienna.
Mesej video oleh Djokovic, Nadal dan Federer ditunjukkan pada 20 Oktober, dengan ramai memuji Thiem kerana keramahan dan semangat kesukanannya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg