RIYADH (Arab Saudi): Rafael Nadal mengakui tahap kecergasannya tidak setanding pemain utama lain selepas tewas pada 17 Oktober secara straight set kepada rakan senegara Sepanyol, Carlos Alcaraz, yang menyifatkan perlawanan itu sebagai “sedikit menghampakan”.
Nadal, 38 tahun, mengumumkan minggu lalu beliau akan bersara daripada tenis selepas Pusingan Akhir Piala Davis di Malaga pada November ini. Beliau tewas 6-3, 6-3 kepada Alcaraz yang berusia 21 tahun pada separuh akhir acara Six Kings Slam di Arab Saudi.
Beliau menyifatkan Alcaraz, pemenang Terbuka Perancis dan Wimbledon tahun ini, sebagai hebat dan mengakui bahawa beliau tidak bersaing pada tahap tertinggi.
“Saya tidak rasa tertekan di sini. Saya hanya mahu berseronok,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
“Saya tahu saya akan berlawan dengan pemain yang... berada dalam tahap yang lebih baik daripada saya kerana mereka mengambil bahagian dalam jelajah profesional dan memenangi perlawanan.”
Alcaraz berkata beliau tahu penyokong Saudi lebih memberi sokongan kepada Nadal, pemenang 22 Grand Slam termasuk 14 gelaran johan Terbuka Perancis.
“Ia agak menyedihkan... Ia bukan saat yang selesa untuk saya. Saya benar-benar mahu menang,” kata Alcaraz.
Sebelum perlawanan itu Nadal membuat penampilan perseorangan terakhirnya di Sukan Olimpik di Paris. Namun, penampilannya dipendekkan apabila tewas kepada pesaing lama Novak Djokovic pada pusingan kedua.
Beliau juga pernah sepasukan dengan Alcaraz dalam acara beregu lelaki di perlawanan itu dan mungkin akan mengulanginya pada Pusingan Akhir Piala Davis.
Nadal akan menentang Djokovic sekali lagi pada 19 Oktober selepas pemain hebat Serbia itu kalah kepada juara Terbuka Australia dan Terbuka Amerika Syarikat, Jannik Sinner, dalam perlawanan yang lebih sengit.
Sinner memenangi 6-2, 6-7 (0-7), 6-4 dan akan menentang Alcaraz dalam perlawanan akhir.
“Melihat Novak berada di hadapan, ialah seperti satu perkara yang nostalgia,” kata Nadal, sambil menantikan bagi perlawanan mereka untuk merebut tempat ketiga dalam perlawanan di Saudi.
“Kami telah berlawan beberapa kali, oleh itu, ia lebih menyeronokkan untuk bermain antara satu sama lain sekali lagi dalam perlawanan ini.”
Bagi Pusingan Akhir Piala Davis, Nadal berkata beliau kurang pasti akan prestasinya.
Beliau berkata: “Dari segi emosi saya pasti saya telah bersedia. Dari segi fizikal, dari segi tahap tenis, maksud saya (ada) sebulan lagi untuk membuat persiapan”.
Jika tidak mampu bersaing dengan baik dalam acara perseorangan, beliau tidak akan teragak-agak untuk bersuara, tambahnya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg