TORONTO: Juara bertahan, Pablo Carreno Busta, warga Australia Nick Kyrgios dan pemain Canada Denis Shapalov, semua telah menarik diri daripada kejuaraan ATP Toronto Masters, umum pihak penganjur pada Selasa.
Carreno menewaskan pemain Poland, Hubert Hurkacz 3-6, 6-3, 6-3 dalam final Canada 2022 di Montreal bagi merangkul kejuaraan Masters 1000 yang pertama dalam kerjayanya.
Malangnya kecederaan yang berlarutan menyaksikan pemain Sepanyol itu hanya bermain empat perlawanan musim ini, dengan yang terkini semasa kekalahannya kepada pemain Perancis, Richard Gasquet, dalam tiga set di Rotterdam pada Februari.
Sementara itu, Kyrgios, terlepas bermain dalam Wimbledon dan gagal mempertahankan kejuaraannya di Washington pada minggu ini akibat kecederaan ligamen pergelangan tangan yang dialami.
Pihak penganjur berkata Shapovalov, yang melangkah ke pusingan 16 terakhir Wimbledon, pula menarik diri kerana masalah lutut.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pihak penganjur melahirkan harapan agar pemain itu melakukan “sedaya mungkin” untuk kekal cergas bagi pertandingan namun kecederaan itu memerlukan lebih masa untuk pulih.
Akibat daripada penarikan dirinya itu, pihak penganjur berkata pemain Finland, Emil Ruusuvuori, pemain Amerika J.J. Wolf dan pemain Jepun, Kei Nishikori, secara automatik disertakan untuk pertandingan itu.
Pertandingan itu yang merupakan persediaan kepada Terbuka Amerika yang akan bermula di Flushing Meadows pada 28 Ogos, telah kehilangan pemain kedua dunia, Novak Djokovic.
Juara Grand Slam sebanyak 23 kali itu, yang tewas kepada pemain Sepanyol Carlos Alcaraz, dalam final Wimbledon, menarik diri pada Ahad lalu akibat kepenatan.
Sementara itu dalam Terbuka Citi di Washington, remaja China, Shang Juncheng, menewaskan pemain ke-14 asal Amerika, Ben Shelton, buat kali kedua dalam dua minggu pada Selasa, 6-2, 3-6, 6-3 untuk melangkah ke pusingan ketiga. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg