LONDON: Penghormatan datang mencurah daripada dunia sukan dan seluruh dunia selepas juara berbasikal Olimpik sebanyak enam kali, Chris Hoy, mendedahkan beliau menghidap barah dan mempunyai masa “dua hingga empat tahun” untuk hidup.
Bekas pelumba trek berusia 48 tahun itu mengumumkan pada Februari beliau disahkan menghidap penyakit barah dan sedang menjalani kemoterapi, namun menegaskan bahawa rawatan tersebut “berjalan dengan baik”.
Namun, Hoy memberitahu The Sunday Times bahawa pada masa itu, beliau tidak tahu penyakitnya berada di tahap lanjut.
Apabila ditanya mengenai jangka hayatnya, doktor memberitahu: “Dua hingga empat tahun”.
“Kita semua lahir dan kita semua mati, dan ini hanyalah sebahagian daripada proses itu,” kata Hoy.
“Saya diingatkan, alangkah saya bernasib baik kerana ada ubat yang boleh saya makan untuk menangkis penyakit ini selama mungkin.
“Namun, kebanyakan pertempuran saya dengan barah bukanlah secara fizikal. Bagi saya, ia pertempuran di dalam minda saya.”
Pada awalnya, Hoy mengabaikan rasa sakit di bahu dan beranggapan ia sekadar kecederaan disebabkan oleh senaman di gimnasium.
Namun, apabila doktor menunjukkannya hasil ujian imbasan, doktor memberitahunya: “Saya benar-benar minta maaf. Ada tumbuhan di bahu awak.”
Imbasan lain mendedahkan bahawa barah itu pada mulanya terbentuk di dalam prostat, dan merebak ke bahu, pelvis, pinggul, tulang belakang dan tulang rusuknya.
“Dan begitu sahaja,” kata Hoy. “Saya belajar bagaimana saya akan mati.”
Di samping itu, Hoy turut mendedahkan bahawa isterinya, Sarra, disahkan menghidap ‘multiple sclerosis’ – yang menjejas sistem saraf pusat.
Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, adalah antara mereka yang menawarkan sokongan mereka kepada Hoy.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg