Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pogacar ‘di puncak dunia’, menang 3 mahkota utama berbasikal

Sep 30, 2024 | 3:39 PM
Tadej Pogacar dari Slovenia meraikan kejayaan selepas memenangi perlumbaan jalan raya elit lelaki pada Kejohanan Dunia Jalan UCI 2024 di Zurich pada 29 September.
Tadej Pogacar dari Slovenia meraikan kejayaan selepas memenangi perlumbaan jalan raya elit lelaki pada Kejohanan Dunia Jalan UCI 2024 di Zurich pada 29 September. - Foto EPA-EFE

ZURICH: Tadej Pogacar menambah gelaran perlumbaan jalan raya dunia kepada kemenangannya dalam Tour de France dan Giro d’Italia yang berlangsung pada 29 September, untuk menjadi atlet pertama sejak 1987 memenangi tiga mahkota acara berbasikal pada musim yang sama.

Jaguh pelumba Slovenia berusia 26 tahun itu memenangi perlumbaan sejauh 273 kilometer mengelilingi Zurich dalam masa 6 jam 27 minit dan 30 saat, dengan pelumba Australia, Ben O’Connor, 34 saat di belakang di tempat kedua dan pakar perlumbaan sehari Belanda, Mathieu van der Poel, di tempat ketiga, 58 saat di belakang pemenang.

Pogacar menempatkan dirinya dalam buku sejarah dengan ‘pecutan’ jarak jauh yang luar biasa, jarang dilihat pada tahap ini, untuk menyertai Stephen Roche dari Ireland pada 1987 dan Eddy Merckx dari Belgium pada 1974 sebagai juara tiga mahkota lelaki.

Pelumba wanita Belanda, Annemiek van Vleuten, mencapai tiga kejuaraan bagi wanita pada 2022.

Pogacar menyerang dengan ‘pecutan’ secara tiba-tiba dan tidak berbalas sejauh 100 kilometer untuk berada di hadapan – dengan rakan sepasukan dari Slovenia, Jan Tratnik, berundur dari kumpulan utama. Ia merupakan kedudukan yang dipertahankannya sehingga akhir perlumbaan.

“Ia kelihatan seperti serangan yang tak masuk akal tetapi saya datang ke sini untuk kemenangan dan mujur saya berjaya... saya tidak pernah berputus asa,” kata Pogacar.

“Selama beberapa tahun ini saya menyasarkan Tour de France, dan bukan gelaran dunia yang tidak pernah saya menangi sebelum ini. Namun tahun ini semuanya dapat dicapai.”

Mana-mana perlumbaan melibatkan Pogacar, van der Poel dan juara Olimpik berganda, Remco Evenepoel, pasti menimbulkan saingan sengit dan inilah yang berlaku.

Selama dua jam, seluruh pasukan Belgium Evenepoel telah membina tenaga untuk memastikan kejuaraan Tour-Giro dalam jangkauan mereka.

“Jika anda bercakap dengan cara biasa, anda akan fikir ia adalah tindakan membunuh diri dan kami semakin menghampiri satu sama lain pada pusingan terakhir, tetapi apabila kami berada pada 30 saat atau lebih, beliau menuruni bukit, jadi beliau dapat kekal di hadapan,” kata Evenepoel.

Evenepoel sering tidak puas hati semasa perlumbaan itu, melambai tangannya ke arah penunggang lain untuk menggalas beban yang diberikan kepadanya dalam perlumbaan itu.

Pogacar tidak menyertai Sukan Olimpik untuk menyasarkan tiga kejuaraan itu, yang dicapainya dengan kemenangan terbarunya itu. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg