Selepas 10 tahun Joseph Schooling menjadi juara Olimpik pertama Singapura, bekas perenang negara itu mahu terus memberi inspirasi kepada generasi baharu atlet sukan akuatik.

Untuk merealisasikan hasrat tersebut, Schooling, 31 tahun, melancarkan Anugerah Joseph Schooling dalam satu acara yang diadakan di Pusat Akuatik OCBC pada 12 Ogos bagi memperingati ulang tahun ke-10 pencapaian bersejarahnya.

Sebagai permulaan program itu, dua perenang masing-masing akan menerima biasiswa bernilai $10,000 selama dua tahun.

Dana permulaan sebanyak $200,000 telah disediakan, iaitu bersamaan dengan sumbangan 20 peratus yang diberikan Schooling kepada Akuatik Singapura (SAQ) daripada wang kemenangan berjumlah $1 juta yang diterimanya di bawah Program Anugerah Acara Sukan Besar.

Ini selepas beliau memenangi pingat emas acara 100 meter kuak kupu-kupu lelaki pada Sukan Olimpik Rio 2016.

Melalui usaha mengumpul dana secara berterusan, program itu menyasarkan untuk memperluaskan jangkauannya dan membantu lebih ramai atlet sukan akuatik mengejar impian mereka.

Mengucapkan terima kasih kepada SAQ kerana menyokong inisiatif tersebut, Schooling berkata:

“Perjalanan saya bermula sebagai satu impian dan menjadi kenyataan melalui banyak kisah dan detik yang tidak terungkap, termasuk kegembiraan dan kepayahan yang dilalui bukan sahaja oleh saya, tetapi juga oleh mereka yang paling rapat dengan saya.

“Pingat emas saya menjadi kenyataan hasil sokongan ibu dan ayah saya. Kini, saya mahu memainkan peranan saya untuk mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada mereka yang berkongsi impian sama serta berani mengejarnya.

“Saya berharap Anugerah Joseph Schooling dapat menjadi tonggak sokongan kepada penerima dan mengukuhkan keyakinan mereka terhadap diri sendiri.”

Perjalanan Schooling ke puncak kejayaan diiringi ketabahan, matlamat dan keberanian dan ciri-ciri itulah yang akan menjadi kriteria pemilihan penerima anugerah yang dinamakan sempena dirinya itu.

Atlet boleh memohon anugerah tersebut melalui laman web SAQ, dengan proses pencalonan bermula pada 1 September.

Badan sukan akuatik kebangsaan itu kemudiannya akan menyediakan senarai calon untuk ditemuduga oleh jawatankuasa pemilihan yang terdiri daripada ahli jawatankuasa eksekutif SAQ, Schooling serta bekas perenang kebangsaan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) World Fencing League, Teo Zhen Ren.

Penerima pertama akan menerima anugerah mereka menjelang akhir 2026.

Jurulatih akan mengemukakan laporan kemajuan selepas tahun pertama bagi mengesahkan bahawa setiap penerima masih memenuhi syarat untuk menerima pembiayaan bagi tahun kedua.

Anugerah itu bukan sahaja bertujuan mengiktiraf potensi atlet, malah turut mewujudkan hubungan bermakna dan peluang bimbingan bagi menyokong perkembangan atlet muda.

Presiden SAQ, Kenneth Goh, berkata: “Apa yang menjadikan Anugerah Joseph Schooling begitu istimewa ialah gabungan penglibatan peribadi yang bermakna dengan komitmen selama dua tahun untuk menyokong perkembangan atlet.

“Atlet yang disenarai pendek akan berpeluang bertemu dan berinteraksi secara peribadi dengan Joseph serta memperoleh pandangan daripada pemenang pingat emas Olimpik pertama Singapura.

“Bagi penerima, anugerah ini menyediakan sokongan berterusan selama dua tahun ketika mereka berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan dan kehidupan peribadi. 

“Kami berharap gabungan unik interaksi peribadi dan sokongan berterusan ini dapat memberi inspirasi kepada generasi seterusnya atlet akuatik Singapura.”