Topik diikuti
Pergi ke BHkuJurulatih mahu bentuk generasi baru renang artistik S’pura
Jurulatih mahu bentuk generasi baru renang artistik S’pura
Jurulatih mahu bentuk generasi baru renang artistik S’pura
Apabila Aquatik Singapura (SAQ) mengumumkan pelantikan Takako Nakajima sebagai jurulatih pembangunan nasionalnya, ia bermakna lebih daripada sekadar satu pelantikan baru.
Buat kali pertamanya, program renang artistik belia Singapura akan dibimbing oleh jurulatih bertaraf Olimpik.
Takako seseorang yang pernah bekerjasama dengan beberapa negara gergasi seperti Jepun dan Austria, dan kini memikul tanggungjawab untuk membantu membentuk cita-cita jangka panjang Singapura menjelang Sukan SEA 2029 dan selanjutnya.
Namun bagi Takako, beliau memegang peranan ini bukan kerana pingat atau prestij, sebaliknya beliau berasa cukup optimis terhadap potensi sukan tersebut.
“Saya nampak ruang yang sangat besar untuk berkembang serta semangat yang kuat dalam masyarakat renang artistik Singapura,” katanya.
“Ini satu cabaran yang menarik untuk menggunakan pengalaman saya dalam persekitaran baru dan membantu membawa pasukan yang sedang membangun ke tahap tertinggi di Asia.”
Walaupun sukan renang artistik di Singapura masih berkembang berbanding kuasa besar serantau lain, Takako percaya negara ini memiliki sesuatu yang amat bernilai – atlet yang cepat belajar dan mudah menyesuaikan diri.
“Perenang Singapura sangat bijak. Mereka cepat memahami maklumat dan sangat pantas menyerap teknik baru,” katanya.
Keupayaan itu boleh menjadi faktor penting ketika Singapura memburu kejayaan di Sukan SEA 2029, di mana negara ini berharap dapat mencabar pasukan terbaik rantau ini.
Namun menurut Takako, bakat semata-mata tidak mencukupi.
Untuk bersaing merebut pingat emas, beliau percaya atlet Singapura perlu memperkukuh asas terlebih dahulu termasuk meningkatkan kekuatan fizikal dan fleksibiliti selain memperhalusi aspek artistik dalam persembahan mereka.
“Ia bukan hanya tentang pelaksanaan teknik. Atlet perlu mampu menawan perhatian juri dan benar-benar membuat persembahan,” jelasnya.
Pendedahan antarabangsa juga dilihat memainkan peranan besar.
Menurutnya, pengalaman bertanding di peringkat dunia membantu atlet membina keyakinan dan ketenangan ketika berada di bawah tekanan, sesuatu yang sukar diperoleh hanya melalui latihan.
Di sebalik kemampuan fizikal, Takako turut menitikberatkan aspek karakter dalam diri atlet.
Renang artistik, yang menggabungkan elemen renang, tarian dan gimnastik, memerlukan tahap keserasian dan kerjasama yang sangat tinggi.
“Atlet bukan sahaja perlu kuat secara individu. Mereka perlu mampu bergerak dan ‘bernafas’ sebagai satu pasukan,” ujarnya.
Beliau juga sudah melihat petanda positif dalam kalangan atlet muda Singapura ketika ini.
“Saya sangat kagum dengan tenaga positif mereka dan bagaimana mereka sentiasa saling menggalakkan untuk menjadi lebih baik.
“Walaupun rutin yang dilakukan sukar, mereka tetap tersenyum dan menghadapi cabaran dengan sikap yang positif,” katanya lagi.
Bagi Takako, budaya seperti itu boleh menjadi asas kepada kejayaan masa depan, lebih-lebih lagi jika disokong ekosistem sukan yang kukuh.
Singapore Aquatics sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah memperkukuh laluan pembangunan atlet dan sistem sokongan sebagai sebahagian persiapan menuju Sukan SEA 2029 serta kitaran Olimpik 2032.
Menurut Takako, sistem seperti itu amat penting untuk memastikan kejayaan dapat dikekalkan dalam jangka panjang.
“Kejayaan hanya sementara tanpa sistem yang menyokong keseimbangan akademik, penjagaan perubatan dan pemakanan, serta laluan jelas untuk generasi seterusnya.
“Persekitaran yang selamat dan stabil, di mana atlet boleh fokus sepenuhnya kepada sukan mereka, adalah asas kejayaan jangka panjang,” katanya.
Buat generasi muda yang bercita-cita mewakili Singapura suatu hari nanti, Takako berharap mereka membentuk mentaliti yang betul sejak awal.
“Latihan asas yang dilakukan berulang kali adalah blok penting menuju kecemerlangan,” ujarnya.
Walaupun pingat menjadi sasaran utama, Takako melihat kejayaan daripada sudut yang lebih besar.
Baginya, kejayaan sebenar adalah apabila atlet benar-benar menikmati sukan itu, menemui keyakinan diri dan mampu melangkah ke pentas dunia dengan penuh rasa bangga.
