Sejak 2013, pasukan atlet terjun cantik Malaysia tiada tandingannya di rantau ini.
Mereka membolot 44 daripada 45 pingat emas Sukan SEA.
Sepanjang tempoh itu, pasukan terjun cantik Singapura memenangi 15 pingat perak dan 16 gangsa, tetapi mendapatkan pingat emas adalah satu cabaran berat.
Kini, salah seorang bekas atlet terjun cantik terbaik Malaysia, Wendy Ng, telah menyertai Akuatik Singapura sebagai jurulatih pembangunan bakat kebangsaan bagi sukan itu.
Dan beliau percaya dengan “perancangan strategik, latihan secara tekal dan pemikiran betul”, usaha mendapatkan emas terjun cantik Sukan SEA adalah satu “sasaran realistik” buat Singapura.
Ng, 31 tahun, mempunyai asas untuk berasa yakin kerana beliau berjaya merebut tujuh pingat emas Sukan SEA, pingat perak di Sukan Asia dan Sukan Komanwel, dan bertanding dalam tiga Sukan Olimpik sebelum bersara pada April 2024.
Beliau akan menggantikan Xiao Xia dari China dan memberikan tumpuan membimbing bakat penerjun muda untuk membantu mereka memperhalusi kemahiran serta menyiapkan mereka untuk bertanding pada peringkat lebih tinggi.
Walaupun tidak menetapkan tempoh untuk atlet terjun cantik Singapura mencapai matlamat pingat emas, Ng jelas tentang apakah yang mereka perlukan untuk berjaya.
“Untuk mencapainya, Singapura memerlukan lebih pendedahan di pertandingan peringkat antarabangsa.
“Bersaing dengan atlet terjun cantik terbaik dunia secara tetap akan membantu mereka menyesuaikan diri untuk bertanding pada peringkat lebih tinggi.
“Kejayaan tidak boleh dicapai semalaman; ia memakan masa bertahun-tahun.
“Pembangunan kemahiran atlet perlu dilakukan secara tekal menerusi program jangka panjang yang disediakan, sistem sokongan kuat dan komitmen atlet.
“Jurulatih, ahli sains sukan dan pakar psikologi perlu memastikan atlet terjun cantik bersedia dari segi mental dan fizikal dan atlet itu sendiri perlu sanggup berusaha, berdisiplin dan keluar daripada zon keselesaan mereka... pastinya ada ruang untuk meningkatkan lagi pencapaian penerjun tempatan,” kata Ng.
Beliau menjelaskan: “Malaysia mempunyai budaya dan program terjun cantik kukuh, jurulatih berpengalaman dan sistem pengenalan dan pembangunan bakat mantap.
“Bakat yang besar di Malaysia juga merupakan satu faktor kejayaan – terdapat kumpulan atlet terjun cantik yang lebih besar, yang mewujudkan persaingan sihat.”
Sejak memulakan program pembangunan sukan terjun cantik menjelang Sukan Olimpik Belia 2010, Singapura telah mencapai kemajuan pada peringkat Asia Tenggara dengan meraih pingat.
Jonathan Chan dan Freida Lim mencipta sejarah dengan menjadi atlet terjun cantik pertama Singapura yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo pada 2020.
Pada Sukan SEA 2017, Ng diuji positif bagi sibutramine, sejenis bahan penahan selera makan yang biasa ditemui dalam suplemen penurunan berat badan, dan pingat emas dilucutkan daripada beliau dan rakannya, Dhabitah Sabri.
Ng menegaskan beliau tidak tahu bagaimana bahan terlarang itu ada dalam dirinya.
Selepas menjalani penggantungan selama lapan bulan, Ng kembali memenangi emas pada Sukan SEA 2019 dan 2021, dan perak pada Sukan Asia 2018 dan 2022 serta Sukan Komanwel 2022.
“Saya telah melalui jatuh bangun dalam perjalanan sebagai seorang atlet, jadi saya tahu cara membimbing atlet terjun cantik muda menghadapi cabaran dan halangan seterusnya untuk mencapai kemenangan.
“Saya membawa pengalaman langsung saya tentang apakah yang diperlukan untuk berjaya, iaitu semangat, kesabaran dan etika kerja yang kukuh,” ujar Ng.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg