Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah kehadiran liga penyokong Man U tertinggi buat musim 2023-24

Sep 12, 2024 | 3:46 PM
Walaupun prestasi Manchester United mengecewakan pada musim 2023-24, mereka tetap mendapat sambutan peminat.
Walaupun prestasi Manchester United mengecewakan pada musim 2023-24, mereka tetap mendapat sambutan peminat. - Foto REUTERS

MANCHESTER: Manchester United mempunyai agregat kehadiran peminat tertinggi dalam liga bola sepak domestik berbanding kelab lelaki Eropah lain pada musim 2023-24, menurut satu laporan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa).

Laporan Landskap Bakat dan Pertandingan Kelab Eropah, yang diterbitkan pada 12 September, mendapati bahawa bagi perlawanan liga, jumlah kehadiran keseluruhan peminat mereka di stadium sendiri, sebanyak 1,397,148 peminat adalah yang tertinggi dalam kalangan kesemua pasukan Eropah.

Ini dicapai walaupun United mengakhiri musim lalu di tempat kelapan, kedudukan terendah mereka dalam sejarah Liga Perdana England (EPL), lapor BBC Sport.

Pasukan Jerman, Borussia Dortmund, pula mempunyai purata kehadiran tertinggi untuk perlawanan liga di stadium sendiri, dengan seramai 81,305 peminat hadir bagi setiap perlawanan Bundesliga.

Dortmund bermain dua perlawanan liga kurang berbanding kelab lain di England, Sepanyol dan Italy.

Dalam semua pertandingan, Dortmund juga mempunyai jumlah kehadiran tertinggi, seramai 1,951,745 peminat.

Enam perlawanan Liga Juara-Juara Dortmund, yang menyaksikan mereka mara ke final menentang Real Madrid, banyak menyumbang kepada jumlah itu.

United menduduki tempat ketiga bagi jumlah kehadiran untuk kesemua pertandingan, dengan 1,834,291 peminat hadir, manakala pasukan Italy, AC Milan di tempat kedua, dengan seramai 1,860,964 peminat hadir.

Secara keseluruhan, 16 pasukan Eropah mencatat lebih sejuta kehadiran peminat bagi perlawanan di stadium sendiri, termasuk kelab seperti West Ham United, Tottenham Hotspur, Arsenal, Manchester City dan Liverpool.

Bagi kehadiran keseluruhan liga, EPL mendapat tempat pertama, dengan 14.7 juta penyokong menghadiri perlawanan mereka.

Terdapat kemerosotan 4 peratus dari segi kehadiran EPL untuk musim 2023-24 berbanding tahun sebelumnya tetapi kapasiti purata stadium juga telah berkurang lebih 5 peratus.

Bagi bola sepak wanita, kehadiran peminat juga meningkat kepada lebih 2.6 juta peminat, peningkatan 38 peratus berbanding musim sebelumnya.

Pasukan wanita di England mencatat jumlah kehadiran tertinggi. Pertandingan liga melibatkan Arsenal di padang sendiri pada musim 2023-2024 dihadiri sebanyak 329,986 peminat, lebih 200,000 lebih ramai berbanding kelab Eropah lain.

Manchester United, Barcelona dan Chelsea merupakan tiga pasukan lain yang mempunyai lebih 100,000 kehadiran bagi perlawanan liga wanita mereka.

Barcelona berada di tempat kedua bagi jumlah keseluruhan untuk kesemua pertandingan dengan 216,974 kehadiran.

Dalam pertandingan Liga Juara-Juara sahaja, Barcelona merupakan satu-satunya pasukan Eropah yang menyaksikan kehadiran lebih 100,000 penyokong. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg