LONDON: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag, berkata beliau “bukan Harry Potter”, dan bertegas pasukannya mempunyai peluang besar untuk menjulang trofi musim ini walaupun selepas kekalahan 0-3 kepada Liverpool di padang sendiri.
Pasukan pelawat mempunyai satu gol yang dibatalkan sebelum Luis Diaz menjaringkan dua gol dalam tujuh minit pada separuh masa pertama di Old Trafford.
Mohamed Salah menambah gol ketiga sembilan minit selepas separuh masa kedua bermula dan United bernasib baik tidak dilanda penghinaan ketika tewas besar 0-5 kepada pasukan yang sama pada 2021.
Ia adalah hari yang buruk untuk Ten Hag walaupun kesebelasan utamanya menampilkan enam pemain barunya.
Pemain tengah terbaru asal Uruguay yang bernilai £50.5 juta ($86.6 juta), Manuel Ugarte, diperkenalkan kepada peminat sebelum sepak mula. Beliau tidak dapat beraksi dalam perlawanan itu kerana didaftarkan selepas waktu tutup pemindahan.
United kini berada di tangga ke-14 dalam kedudukan Liga Perdana England (EPL), dengan hanya tiga mata daripada tiga perlawanan pembukaan mereka.
Bagaimanapun, Ten Hag enggan menerima pandangan negatif tentang keputusan itu, sambil memberitahu tiada pihak yang harus mengharapkan sesuatu yang ajaib.
“Ia bukan seperti saya Harry Potter,” katanya. “Anda perlu mengakui itu.
“Untuk tiga pemain kami, ia adalah permulaan pertama mereka musim ini.
“Manuel Ugarte tidak bermain seminit pun – beliau perlu membina kecergasannya. Kemudian kami perlu menyesuaikannya dengan pasukan. Saya pasti beliau akan menyumbang kepada pasukan kami. Ia akan mengambil masa beberapa minggu, mungkin sebulan. Hal yang sama juga berlaku kepada pemain-pemain lain.”
Ten Hag merujuk kepada penyerang Joshua Zirkzee dalam konteks ini.
Penyerang Belanda itu menunjukkan permainan yang tidak konsisten, dengan beberapa hantaran yang kurang berkesan tetapi berjaya mencipta peluang terbaik United.
Salah satunya ialah rembatan yang tersasar manakala satu lagi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Liverpool, Alisson Becker.
Matthijs de Ligt juga kelihatan tidak selesa di bahagian pertahanan di samping Lisandro Martinez, manakala pemain tengah England, Kobbie Mainoo terlalu kerap dibiarkan terdedah oleh Ryan Gravenberch yang cemerlang di posisi tengah untuk pasukan pelawat.
Ten Hag dilihat bertengkar dengan seorang wartawan dalam sidang media selepas perlawanan itu.
Bekas pengurus Ajax itu berkata beliau mempunyai “visi yang berbeza” berbanding pandangan yang mengatakan pasukannya membuat kesilapan yang sama selama dua tahun dengan berkata “jika tidak, kami tidak akan memenangi trofi dan mengalahkan lawan yang lebih besar”.
“Ia adalah perlawanan ketiga musim ini. Saya sudah menjelaskan perkara ini berkali-kali. Kami perlu membina pasukan baru. Jelas kami perlu memperbaiki.
“Pada penghujung musim saya cukup yakin kami akan mempunyai peluang besar untuk menjulang satu lagi trofi.”
Pemain tengah veteran Brazil, Casemiro, dipersalahkan bagi dua gol pertama Liverpool.
Ten Hag mengambil keputusan berani untuk menggantikan bekas pemain Real Madrid itu dengan Toby Collyer yang berusia 20 tahun pada separuh masa kedua.
Satu video tular di media sosial mendakwa Casemiro, yang tidak menerima keputusan pengurusnya itu, telah meninggalkan Old Trafford lebih awal tetapi Ten Hag menafikannya.
“Saya mengeluarkannya kerana kami ketinggalan dua gol menentang lawan seperti Liverpool. Kami terpaksa mengambil risiko kerana kami mahu bangkit dan memerlukan pemain di bahagian tengah yang boleh membuat lebih banyak larian.
“Beliau (Casemero) telah memenangi segala-galanya dalam kerjayanya. Saya pasti beliau akan terus menyumbang kepada pasukan kami.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg