MADRID: Jurulatih baru Real Madrid, Alvaro Arbeloa, pada 13 Januari menegaskan beliau akan memimpin gergasi Sepanyol itu dengan gayanya sendiri, bukan meniru Jose Mourinho.
Arbeloa, yang pernah menjadi sekutu Mourinho, ketika bermain untuk Real, sering dibandingkan dengan veteran Portugal itu dalam pendekatan pengurusan.
Bekas pertahanan berusia 42 tahun itu dilantik menggantikan Xabi Alonso pada 12 Januari, sehari selepas Real Madrid tewas kepada musuh tradisi Barcelona dalam final Piala Super Sepanyol.
“Saya belum bercakap dengan Jose. Bagi saya, dilatih oleh Jose Mourinho adalah satu keistimewaan dan penghormatan,” ujar Arbeloa dalam sidang akhbar.
“Saya mempunyai hubungan yang akrab dengannya... dan jelas beliau sangat mempengaruhi saya dan saya membawa sebahagian daripadanya dalam diri saya.
“Namun, saya akan menjadi Alvaro Arbeloa. Walaupun saya seorang yang berani dan tidak gentar gagal, saya pasti jika saya cuba menjadi Jose Mourinho, saya akan gagal teruk,” katanya.
Mourinho, yang kini membimbing Benfica, memimpin Real dari 2010 hingga 2013, memenangi satu gelaran La Liga.
Dalam tempoh itu, beliau berhadapan saingan sengit daripada Barcelona kendalian Pep Guardiola, ketika permusuhan antara pasukan Catalan dan Real mencapai kemuncaknya.
Kini, Barca mendahului Real empat mata di puncak La Liga. Tugas Arbeloa adalah untuk mengubah nasib pasukan, meskipun perlawanan pertamanya sebagai jurulatih adalah menentang Albacete dalam pusingan 16 terakhir Copa del Rey pada 14 Januari.
Arbeloa, yang melatih pasukan simpanan Real dan pernah bersama pasukan belia sebelum dinaikkan pangkat, berkata kejayaan adalah yang terpenting bagi juara Eropah 15 kali itu.
Real tidak mengumumkan tempoh kontrak Arbeloa sebagai jurulatih pasukan utama.
“Apa yang boleh saya katakan ialah saya telah berada di sini selama 20 tahun, di tempat sendiri. Saya akan kekal di Real Madrid selagi mereka mahukan saya di sini,” tambah Arbeloa.
“Inilah rumah saya, itulah yang saya rasai dan ia sentiasa begitu,” tambahnya.
Penyerang Kylian Mbappe tidak hadir ketika Arbeloa mengambil alih sesi latihan pertamanya pada 13 Januari menjelang kunjungan menentang pasukan divisyen dua Albacete.
Mbappe tidak menyertai latihan kerana masalah lutut. – AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg