MADRID: Jurulatih Real Madrid, Xabi Alonso, telah meninggalkan kelab itu melalui persetujuan bersama sehari selepas tewas 3-2 kepada musuh ketat El Clasico, Barcelona, dalam perlawanan Piala Super Sepanyol, menurut kelab itu dalam satu kenyataan.
“Xabi Alonso akan sentiasa menerima kasih sayang dan penghargaan semua penyokong Real Madrid kerana beliau merupakan legenda Real Madrid dan sentiasa mewakili nilai kelab kami.
“Real Madrid akan sentiasa menjadi rumahnya,” kongsi kelab itu.
Kelab Liga Sepanyol itu menambah bahawa pengurus pasukan kedua dan bekas pemain pertahanan, Álvaro Arbeloa, akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih pasukan utama.
Madrid berpisah dengan Alonso hanya tujuh bulan selepas pelantikannya, susulan rentetan keputusan hambar dalam semua kejohanan.
Bekas pemain tengah Madrid itu, yang menandatangani kontrak selama tiga tahun pada Mei 2025 selepas tempoh cemerlang bersama Bayer Leverkusen, menyaksikan tempoh khidmatnya di Santiago Bernabeu tamat dengan pantas.
Sebelum ini, bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu membimbing Leverkusen mencipta kempen tanpa kalah yang bersejarah untuk menjuarai Bundesliga musim 2023-24, selain meraih kejuaraan Piala Jerman dan mara ke perlawanan akhir Liga Eropah.
Ini sekali gus mendorong Madrid untuk membawa Alonso kembali ke kelab itu sebagai pengurus.
Namun, kepulangan Alonso gagal mengulangi kejayaan seorang lagi bekas pemain tengah Madrid, Zinedine Zidane, yang terkenal kerana membimbing kelab itu merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah tiga kali berturut-turut.
Tempoh perkhidmatannya dicemari perselisihan dalaman, dengan laporan mengenai pertelingkahan bersama pemain senior, termasuk naib kapten Federico Valverde dan pemain sayap Vinicius Jr.
Prestasi hambar Madrid di bawah kendalian Alonso turut menyaksikan kekalahan kepada Paris St Germain dalam Piala Dunia Kelab, Atletico Madrid dalam LaLiga Sepanyol, serta Liverpool dan Manchester City dalam Liga Juara-Juara Eropah.
Arbeloa akan mengambil alih tugas itu serta-merta dan akan berada di bangku tepi padang, apabila Madrid menentang pasukan divisyen kedua, Albacete, dalam perlawanan pusingan 16 Copa del Rey pada 15 Januari.
Selepas mendahului LaLiga lebih awal musim ini dengan kelebihan lima mata ke atas musuh ketat, Barcelona, Madrid kendalian Alonso runtuh dan kini berada di tangga kedua, ketinggalan empat mata di belakang juara musim lalu, Barca.
Pelantikan Alonso pada awalnya dilihat sebagai projek jangka panjang, namun pemecatannya mencerminkan ketidaksabaran kelab apabila Madrid gagal memenuhi piawaian tinggi mereka.
Jurulatih berusia 44 tahun itu, yang tampil sebanyak 236 kali bersama Los Blancos sebagai pemain antara 2009 dan 2014, memenangi satu kejuaraan LaLiga, dua piala Copa del Rey, serta kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah ke-10 yang sekian lama dinantikan kelab itu sepanjang tempohnya beraksi di bahagian tengah.
Alonso juga memulakan kerjaya kejurulatihannya di akademi Madrid, membimbing pasukan bawah 14 tahun itu meraih kejayaan liga dan kejohanan pada musim 2018–19.
Ini sebelum beralih ke pasukan simpanan Real Sociedad, dan seterusnya ke Leverkusen.
Penggantinya, Arbeloa, telah menjadi jurulatih Real Madrid Castilla sejak Jun 2025 dan menghabiskan keseluruhan kerjaya kejurulatihannya dalam akademi remaja kelab itu sejak 2020.
Arbeloa pernah beraksi bersama Madrid semasa salah satu era paling gemilang dalam sejarah kelab tersebut, antara 2009 dan 2016, dengan mencatat 238 penampilan serta memenangi lapan kejuaraan, termasuk dua piala Liga Juara-Juara Eropah. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg