PHILADELPHIA: Pengurus Brazil, Carlo Ancelotti, kekal tenang selepas kempen Piala Dunia skuad kendaliannya bermula dengan hambar.

Ancelotti menyifatkan pertemuan akan datang dalam Kumpulan C menentang Haiti sebagai peluang terbaik untuk memperbaiki kelemahan yang terserlah skuad tersebut semasa seri 1-1 dengan Maghribi.

Juara dunia lima kali itu memerlukan sentuhan hebat Vinicius Jr untuk menyelamatkan satu mata dalam aksi pembukaan, selepas pemain tengah Maghribi, Ismael Saibari, terlebih dahulu menjaringkan gol bagi pasukannya.

Brazil bakal menentang Haiti di Philadelphia, Amerika Syarikat, pada 19 Jun waktu tempatan (20 Jun waktu Singapura), di mana skuad kendalian Ancelotti itu dijangka mencatat kemenangan mudah ke atas pasukan yang memulakan kempen mereka dengan kekalahan 0-1 menentang Scotland.

Ketika mengulas mengenai prestasi pasukannya serta harapan dalam perlawanan akan datang, pengurus asal Italy itu melahirkan rasa yakin dengan kemampuan anak buahnya.

“Anda tidak memenangi Piala Dunia pada perlawanan pertama,” kata Ancelotti kepada media di Philadelphia pada 18 Jun.

“Sikap mengakui kelemahan sendiri dalam kalangan pemain adalah sangat positif. Saya yakin kami akan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi dan kami akan terus memberikan saingan (sengit).”

Ancelotti, yang mengambil alih peranan jurulatih pada 2025, tidak mendedahkan senarai kesebelasan utamanya namun memberi bayangan akan melakukan beberapa rombakan kecil.

“Kami akan melakukan beberapa perubahan... bagi meningkatkan keseimbangan dan corak permainan kami,” katanya.

“Kami mampu beraksi dengan lebih baik dan kami sememangnya perlu menunjukkan aksi lebih baik.”

Ancelotti turut mendedahkan bahawa tekanan menyarung jersi ikonik berwarna kuning itu mungkin telah menjejas aksi barisan pemainnya dalam perlawanan pembukaan sebelum ini.

“Aksi pada separuh pertama agak tidak dijangka, tekanan menyarung jersi ini dalam perlawanan pertama mungkin sedikit sebanyak telah mengganggu emosi dan mental pemain,” katanya.

“Permulaan yang baik adalah penting, tetapi ia bukan segala-galanya.

“Kami perlu memberi peluang kedua kepada pemain yang kurang menyerlah pada separuh pertama ketika menentang Maghribi. Tiada seorang pun dalam pasukan kami yang beraksi pada tahap terbaik mereka ketika itu.

“Tetapi, saya tidak rasa aksi pembukaan ini akan menjadi penentu bagi keputusan akhir Piala Dunia.”

Ketika ditanya sama ada penyokong perlu bimbang mengenai ketiadaan identiti taktikal yang jelas di bawah kendaliannya, Ancelotti menegaskan bahawa fleksibiliti adalah tunjang utama pasukannya.

“Saya tidak mahu terikat dengan satu identiti sahaja,” katanya. 

“Saya mahu pasukan saya memiliki pelbagai identiti permainan.”

Sementara itu, pengurus Haiti, Sebastien Migne, mengakui skuad kendaliannya bakal berdepan saingan besar dalam aksi menentang Brazil.

Namun, Migne menyifatkan perlawanan Kumpulan C itu sebagai peluang keemasan bagi pasukan kerdil dari Caribbean itu membuktikan kemampuan mereka.

Kini, ujian getir menanti mereka dalam perlawanan menentang Brazil.

Perlawanan tersebut pastinya akan mencetuskan suasana luar biasa di ibu negara Haiti, Port-au-Prince, dan seluruh dunia sekiranya Haiti mampu melakar sejarah dengan mengalahkan Brazil. 

“Kami perlu berlari lebih banyak berbanding ketika menentang Scotland,” kata pengurus asal Perancis itu dalam sidang media pada 18 Jun.

“Kami tidak akan rugi apa-apa dalam perlawanan sebegini esok (19 Jun). Sudah 52 tahun sejak kali terakhir kami beraksi di Piala Dunia, dan kini kami bakal menentang Brazil – kami perlu memenuhi harapan penyokong.

“(Peluang) berada di sini merupakan satu penghormatan besar buat kami, dan saya berharap kami dapat membuat rakyat Haiti bangga dengan kami,” kata Migne. – Agensi berita.

JADUAL PERLAWANAN 20 JUN (WAKTU S’PURA)

  1. Amerika Syarikat lawan Australia (3 pagi, Kumpulan D di Stadium Seattle)
  2. Scotland lawan Maghribi (6 pagi, Kumpulan C di Stadium Boston)
  3. Brazil lawan Haiti (8.30 pagi, Kumpulan C di Stadium Philadelphia)
  4. Turkey lawan Paraguay (11 pagi, Kumpulan D di Stadium San Francisco Bay Area)