Topik diikuti
Pergi ke BHkuDemam Piala Dunia dijangka sebabkan ramai ponteng kerja di Sweden
Demam Piala Dunia dijangka sebabkan ramai ponteng kerja di Sweden
Demam Piala Dunia dijangka sebabkan ramai ponteng kerja di Sweden
VANCOUVER: Majikan di Sweden dijangka berdepan peningkatan ketidakhadiran pekerja dalam tempoh singkat apabila demam Piala Dunia melanda negara itu.
Analisis yang dijalankan oleh agensi kerajaan, Statistics Sweden, mendapati kadar ketidakhadiran pekerja meningkat dengan ketara setiap kali berlangsung kejohanan bola sepak utama itu sepanjang dua dekad lalu.
Negara yang terkenal dengan keseimbangan antara kehidupan dengan pekerjaan itu menyaksikan ramai pekerja dijangka memulakan cuti musim panas lebih awal daripada kebiasaan, atau mengambil cuti sehari, semata-mata untuk mengikuti aksi Piala Dunia, terutama apabila banyak perlawanan berlangsung pada waktu malam di Eropah.
Sweden yang kini mendahului Kumpulan F selepas membelasah Tunisia 5-1 pada aksi pembukaan bakal menentang Belanda yang berada di tangga ketiga kumpulan dalam perlawanan kedua di Houston pada 21 Jun nanti.
“Ketidakhadiran singkat dari tempat kerja adalah 19 peratus pada minggu-minggu dalam Jun dan Julai, yang tidak mempunyai kejohanan bola sepak.
“Namun angka itu meningkat kepada 27 peratus pada minggu yang berlangsungnya kejohanan bola sepak,” kata ahli statistik Statistics Sweden, Cik Lena Johansson dalam satu kenyataan.
Pemain sayap Sweden, Anthony Elanga yang masuk sebagai pemain gantian ketika menentang Tunisia berkata kejohanan itu memberi impak besar kepada rakyat negaranya.
“Memang luar biasa apa yang boleh dilakukan kejohanan seperti ini kepada Sweden dan seluruh rakyat Sweden.
“Sangat menarik melihat semua orang bersatu dan betapa penting serta kuatnya pengaruh bola sepak.
“Kami berharap dapat terus menggembirakan rakyat dengan memenangi lebih banyak perlawanan,” katanya.
Statistics Sweden menjalankan analisis terhadap data dari 2005 hingga 2025 mendapati kebarangkalian seseorang pekerja mengambil cuti atau tidak hadir untuk tempoh singkat meningkat sehingga 57 peratus, ketika berlangsungnya kejohanan bola sepak antarabangsa, berbanding minggu biasa pada Jun dan Julai.
Menurut Johansson, ketidakhadiran itu tidak semestinya berpunca sepenuhnya daripada kejohanan bola sepak.
“Bagaimanapun, statistik menunjukkan peluang untuk tidak hadir bekerja meningkat ketika berlangsung Kejohanan Eropah atau Piala Dunia,” katanya. – Agensi berita.
