SAO PAULO (Brazil): “Aturan dunia” bola sepak sedang berubah, kata jurulatih Brazil, Dorival Junior, menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Venezuela pada 14 November (pagi 15 November, waktu Singapura).
Walaupun pasukannya kurang berasa tertekan selepas menewaskan Chile (2-1) dan Peru (4-0), jurulatih Brazil berusia 62 tahun itu memberi amaran bahawa mereka, seperti Argentina, perlu menyedari mereka telah mengalami kekalahan berdepan lawan yang tidak begitu kuat sebelum ini.
“Saya rasa kami tidak akan hadapi perlawanan yang mudah. Lupakan Venezuela dan Bolivia. Sekarang ini aturan dunia sudah banyak berubah,” kata Dorival pada 13 November.
“Bola sepak Amerika Selatan telah semakin berkembang. Jika anda melihat kebanyakan barisan pemain negara di Amerika Selatan, anda akan nampak pemain Amerika Selatan bermain dengan pasukan-pasukan di seluruh dunia. Ini tidak berlaku sebelum ini.”
“Pasukan-pasukan teratas tidak mempunyai banyak ruang untuk berkembang, sementara pasukan-pasukan di bawah sudah mula membuat kemajuan yang besar. Ini menyebabkan perlawanan menjadi lebih sengit.”
Brazil masih dalam proses pembentukan di bawah bimbingannya, bermakna prestasi mereka akan “naik turun” sementara proses itu sedang dilakukan, tambahnya.
Namun, beliau percaya mereka sedang menuju ke arah menjadi “pasukan yang stabil, kuat dan seimbang”.
Selepas permulaan yang buruk dalam pusingan kelayakan, tewas empat daripada lapan perlawanan awal di Amerika Selatan, Brazil bangkit untuk menewaskan Chile dan Peru dan berada di tempat keempat dengan 16 mata selepas 10 perlawanan.
Enam pasukan teratas Amerika Selatan layak secara langsung ke Piala Dunia 2026.
Brazil berada enam mata di belakang Argentina.
“Kami tidak berada dalam situasi yang benar-benar baik, kami sedang mengejar dari belakang... (tetapi) kami yakin dengan struktur yang lebih kukuh dalam pasukan,” kata Dorival.
Selepas perlawanan menentang Venezuela, Brazil akan menentang Uruguay pada 19 November.
Argentina akan bermain menentang Paraguay di stadium Defensores del Chaco di Asuncion, dan Persatuan Bola Sepak Paraguay (APF) telah memberi amaran kepada penyokong tuan rumah untuk hanya memakai jersi Paraguay kerana jersi dari Argentina, kelab Argentina, atau kelab yang mengandungi nama pemain dari negara lain tidak akan dibenarkan.
Namun, Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, yakin akan ada jersi Lionel Messi di kalangan penyokong tuan rumah walaupun APF melarang jersi pasukan lawan sebelum perlawanan kelayakan pada 14 November.
Scaloni berkata impak pemain global No. 10 Argentina, penjaring terbanyak sepanjang masa Argentina dan pemenang Piala Dunia, adalah jauh lebih besar.
“Secara logik, bagi pemain bola sepak Paraguay, bagi penyokong, mereka semua mahu memakai jersi pasukan kebangsaan. Tetapi Messi lebih kuat daripada semua itu dan akan ada jersi Argentina,” katanya.
“Itu tidak bermakna mereka tidak menyokong Paraguay. Saya rasa adalah baik bagi peminat bola sepak untuk mengiktiraf siapa Lionel Messi.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg