LONDON: Henrique Hilario bersedia menamatkan kerjaya 18 tahun bersama Chelsea dengan meninggalkan kelab itu untuk menyertai Thomas Tuchel di skuad kebangsaan England.
Penjaga gol itu menyertai The Blues pada 2006 sebagai penjaga gol simpanan di belakang Petr Cech dan Carlo Cudicini.
Beliau menghabiskan hampir sedekad sebagai penjaga gawangl simpanan sebelum bersara pada 2014 selepas menjadi sebahagian daripada skuad juara Liga Perdana England dan Liga Juara-Juara.
Dua tahun selepas menggantung sarung tangannya, Hilario kembali ke Chelsea di bawah pengurus Antonio Conte sebagai penolong jurulatih penjaga gawang.
Beliau kemudian dinaikkan pangkat dua tahun kemudian oleh Maurizio Sarri dan kekal memegang peranan itu termasuk di bawah pengurus Tuchel.
Namun pengurus dari Jerman itu – yang menggantikan Gareth Southgate sebagai ketua Three Lions – akan membawa Hilario bersamanya ke Wembley.
Tuchel, 51 tahun, yang akan memulakan tugasnya pada 1 Januari 2025 selepas menandatangani kontrak 18 bulan, menggunakan masa yang terluang untuk menyusun kaki tangan kejurulatihannya.
Beliau turut meyakinkan penganalisis persembahan semasa Chelsea, James Melbourne, untuk menyertainya.
Hilario dan Melbourne akan disambut bekas jurulatih The Blues, Anthony Barry, yang akan menjadi orang nombor dua di belakang Tuchel.
Jurulatih sementara England, Lee Carsley, sebelum ini berkata Thomas Tuchel mempunyai kesemua ‘peralatan’ yang diperlukan untuk menjuarai Piala Dunia 2026 dengan kunci utamanya adalah mencari keseimbangan tepat buat pasukan.
“Saya fikir kami berada di posisi yang baik untuk melakukannya,” kata Carsley.
“Kami mempunyai bakat untuk melakukannya. Saya bertuah sekarang berada di beberapa Piala Dunia dan ketika pemain berada di tahap prestasinya, fizikal dan mental, di masa yang tepat bagi memilih skuad yang betul.
“Kami mempunyai semua peralatan. Kami hanya perlu meletakkan mereka mengikut turutan... kami hanya perlu mencari keseimbangan dikehendaki.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg